PUCHONG 5 Okt. – Selepas tiga hari meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung hari ini menghantar borang untuk menyertai Bersama yang dipimpin bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Rafizi yang mengesahkan demikian mengalu-alukan hasrat itu dan akan berperanan sebagai pemimpin Bersama bersama-sama untuk memimpin kempen Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka tidak lama lagi.
Bercakap pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini, Rafizi berkata, permohonan Chean Chung akan diproses mengikut tatacara keahlian Bersama.
“Beliau akan memikul tanggungjawab bersama-sama untuk memimpin kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan tumpuan untuk membantu dan membina jaringan Bersama di kawasan-kawasan komuniti Cina.
“Jadi, Chean Chung akan menjadi salah seorang daripada pimpinan ‘co-leaders of Bersama’ semasa proses interim sebelum pemilihan kepimpinan baru parti yang dijangka diadakan pada tahun hadapan.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyertai Bersama untuk kita sama-sama membina sebuah wadah pilihan alternatif di masa akan datang,” kata bekas Menteri Ekonomi itu.
Terdahulu Chean Chung mengumumkan melatak jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya berkuat kuasa Jumaat lalu dan surat peletakan jawatannya sudah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul hari ini.
Beliau yang memenangi kerusi Parlimen Petaling Jaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga meninggalkan PKR selepas menerima surat daripada parti pada Rabu lalu yang memaklumkan keahliannya dalam parti digantung selama tiga tahun.
Chean Chung menjadi Ahli Parlimen PKR keempat meletakkan jawatan tahun ini selepas Rafizi bagi kerusi Pandan, Nik Nazmi Nik Ahmad bagi Setiawangsa dan Wong Chen bagi Subang.
Rafizi dan Nik Nazmi meletakkan jawatan pada Mei sebelum mengambil alih kepemimpinan Bersama, manakala Chen mengosongkan kerusi Subang pada Ogos sebelum menyertai parti berkenaan.
Dalam pada itu, Chean Chung mengesahkan dilamar beberapa parti politik sebelum membuat keputusan menyertai Bersama secara rasmi hari ini.
“Secara terus terang, beberapa hari ini ada beberapa parti juga hubungi saya walaupun tempoh agak singkat, tetapi mereka cepat. Ini adalah keputusan saya untuk menyertai Bersama,” katanya.
Menurutnya, keputusan menyertai parti itu dibuat segera kerana merasakan tiada masa untuk terus menunggu bagi melakukan sesuatu untuk rakyat.
Chean Chung bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata, beliau akan terus memperjuangkan isu membabitkan penduduk Petaling Jaya selain menyumbang di peringkat lain.
NN
