SEPANG 5 Okt. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia untuk berbincang dan memperhalusi bentuk kerjasama atau pakatan elektoral (electoral pact) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agungnya, Mohamed Azmin Ali berkata, kesediaan itu antara perkara yang diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik Bersatu yang dipengerusikan oleh Presiden, Muhyiddin Yasin hari ini.
“Keputusan untuk mewujudkan ‘electoral pact’ dalam PRN Melaka adalah bertujuan mengoptimumkan potensi bagi menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri yang moderate dan progresif demi kesejahteraan rakyat Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keputusan mesyuarat hari ini dimuktamadkan mengambil kira semua pandangan dan analisis mengenai penyertaan Bersatu dalam pilihan raya Melaka, termasuk meneliti pelbagai dimensi dan perkembangan politik semasa.
Mesyuarat juga memutuskan akan menggunakan simbolnya sendiri dalam PRU DN Melaka manakala jumlah kerusi dipertandingkan pula akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Keputusan untuk mewujudkan ‘electoral pact’ (pakatan elektoral) dalam PRN Melaka adalah bertujuan mengoptimumkan potensi bagi menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri yang moderate (sederhana) dan progresif demi kesejahteraan rakyat Melaka.
“Bersatu merayu kepada rakyat Melaka untuk memberi peluang kepada calon-calonnya untuk mewakili suara rakyat dan membawa perubahan yang hakiki dan memberikan manfaat langsung kepada semua rakyat Melaka,” katanya.
