PUTRAJAYA 5 Okt. – Tindakan kerajaan terhadap MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd, kedua-duanya di bawah kumpulan MyEG tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau sebaliknya berkata, tindakan itu dibuat berdasarkan fakta syarikat itu mempunyai tunggakan RM314 juta membabitkan obligasi kepada kerajaan.
Katanya, kerajaan tidak menjadikan kaitan politik sesebuah syarikat sebagai pertimbangan dalam mengambil tindakan, sebaliknya semua pihak dilayan secara sama rata.
“Satu yang pasti, ia tak ada kaitan, tak ada kena-mengena dengan parti sayalah tetapi berkaitan dengan parti mana? Itu bukan pertimbangan saya.
“Kita berkaitan kepada fakta. Faktanya ialah ada tunggakan. Ada apa-apa tunggakan yang sepatutnya obligasi kepada kerajaan tidak dipenuhi dan tindakan perlu diambil,” katanya pada sidang media bagi menjawab pertanyaan sama ada syarikat terbabit mempunyai kaitan dengan parti politik tertentu.
Akhbar The Straits Times (ST), Singapura sebelum ini melaporkan MyEG berhutang lebih RM200 juta dengan JPJ membabitkan kutipan pembaharuan cukai jalan, lesen memandu dan saman trafik.
Zetrix didakwa gagal menyerahkan kutipan berkenaan sejak permulaan kontrak tiga tahun dengan JPJ pada Mei 2023.
Susulan itu, JPJ menggantung perkhidmatan syarikat di bawah kumpulan MYEG itu yang juga sebagai ejen kutipan jabatan terbabit berkuat kuasa hari ini.
Loke berkata, beliau tidak mahu mengaitkan mana-mana syarikat atau ejen dengan parti politik, kerana prinsipnya adalah melayan semua syarikat dan ejen sama rata.
“Awak perlu bertanya kepada mereka. Maksud saya, saya tidak mahu mengaitkan mana-mana syarikat dengan mana-mana parti politik atau apa-apa sekalipun.
“Maksud saya, saya melayan setiap syarikat dan setiap ejen secara sama rata. Mereka berkaitan dengan pihak siapa-siapa, itu tidak relevan kepada saya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, tunggakan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM314 juta oleh MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd di bawah Kumpulan MyEG adalah sejak Mei hingga September tahun ini, bukan selama tiga tahun seperti dilaporkan.
Katanya, jumlah keseluruhan tuntutan terhadap syarikat terbabit bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September lalu itu membabitkan kutipan hasil kerajaan yang masih belum dipindahkan ke Akaun Penerimaan Utama Pejabat Perakaunan kementerian.
Sejak Mei lalu, kementerian bersama JPJ sudah mengambil beberapa langkah bagi mendapatkan semula kutipan hasil berkenaan, termasuk mengadakan empat sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan.
Selain itu, katanya sebanyak 35 notis peringatan dikeluarkan selain menetapkan tempoh penyelesaian tunggakan berkenaan
Pada 21 Ogos 2026, pihak syarikat menyerahkan cek bertarikh 30 September 2026 bernilai RM231 juta sebagai penyelesaian tunggakan ketika itu.
“Bagaimanapun, apabila cek berkenaan dikreditkan pada 30 September lalu, pihak bank tidak memprosesnya atas arahan syarikat terbabit, justeru MOT dan JPJ terpaksa mengambil langkah drastik untuk menggantung perkhidmatan pembayaran menggunakan saluran MyEG dan Zetrix AI bermula hari ini.
Loke juga menyifatkan tidak masuk akal desakan supaya beliau meletakkan jawatan susulan tindakan menggantung perkhidmatan MyEG.
Tegasnya, pihak yang mempunyai tunggakan ialah syarikat terbabit, namun beliau pula dipersalahkan dan didesak meletakkan jawatan.
“Dalam media sosial pula, apabila tindakan diambil, saya pun hairan. ‘Ceplos-ceplos’ minta saya letak jawatan pula. Yang tak bayar, syarikat, yang diminta diambil tindakan ialah menteri. Apa punya logik ini?” katanya.
Nnnn
