PUTRAJAYA 14 Mei – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), menjangkakan Monsun Barat Daya bermula pada Jumaat ini, 17 Mei dan akan berterusan sehingga September 2024.
Orang ramai dinasihatkan tidak membuat pembakaran terbuka sepanjang tempoh Monsun Barat Daya yang bermula Jumaat ini, kerana boleh menyebabkan jerebu berlaku, terutamanya di antara Julai hingga September.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata, semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera lebih stabil.
Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan yang membawa kepada taburan hujan yang lebih rendah dalam tempoh berkenaan.
“Sehubungan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding bilangan hari hujan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walaubagaimanapun, hujan lebat beserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak, dan barat Sabah terutama pada awal pagi.
“Garis badai adalah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya.
Susulan itu, Muhammad Helmi juga menasihatkan orang ramai mengelakkan pembakaran terbuka bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar di samping menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi Jabatan dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.
