Rungutan beras tempatan berkurangan

SERDANG 14 Mei –  Bekalan beras tempatan sedang berada di pasaran, walaupun terdapat kelompangan di sana sini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Mohamad Sabu.

Katanya, kerajaan mengambil inisiatif mengarahkan 140,000 tan bekalan bahan itu diproses dan dikeluarkan segera dari kilang, sejak Mac lalu menyebabkan rungutan berkaitan ketiadaan beras tempatan semakin berkurangan.

Mohamad, bagaimanapun mengakui isu berhubung bekalan beras tempatan akan berterusan selagi tahap sara diri (SSL) bagi bahan itu tidak mencapai 80 peratus.

Beliau berkata,  KPKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau situasi yang ada dan akan terus memainkan peranan bagi mengatasi segala kekurangan yang ada.

“Rungutan sekarang sudah berkurangan jika dibandingkan peringkat awal dulu namun masalah akan berterusan jika beras kita tidak capai sekurang-kurangnya SSL 80 peratus,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Pengembangan Veterinar dan Hari Inovasi Tahun 2024 Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Pada Mac lalu, kerajaan mengumumkan empat inisiatif untuk mengatasi isu kekurangan beras dalam pasaran termasuk memutuskan supaya semua stok semasa padi dan beras yang dibeli pengilang berjumlah 140,000 tan diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta merta.

Pada masa sama, Mohamad berkata, kadar SSL beras tempatan negara adalah pada 62 hingga 63 peratus kini.

Beliau berkata, melalui pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan, penghasilan padi mula menunjukkan peningkatan yang baik.

“Selain itu, melalui Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kerajaan sanggup membelanjakan lebih RM5 bilion untuk projek tanaman padi lima kali dua musim di kawasannya,” katanya.

Mengenai daging ternakan ruminan, Mohamad berkata, kerajaan mengakui SSL bekalan itu berada di bawah 20 peratus.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan yakin kadar SSL itu mampu ditingkatkan kepada 50 peratus selaras dengan Pelan Strategik Pembangunan Industri Pegading Negara menjelang 2030.

Related posts

Leave a Comment