PUTRAJAYA 14 Mei – Draf Memorandum Persefahaman (MoU) yang perlu ditandatangani, sebelum kerajaan menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sedang dimuktamadkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.
Beliau memberitahu, antara kandungan MoU itu adalah bersama memastikan kestabilan demi pemulihan ekonomi negara serta mengelak perpecahan khususnya berkaitan isu 3R iaitu agama, raja, dan kaum.
“Kita masih memperincikan (draf) tetapi gambaran (MoU) sudah saya berikan apa kandungannya iaitu pertama, untuk fokus supaya semua Ahli Parlimen ini melihat bagaimana untuk membangunkan dan memulihkan ekonomi negara.
“(Kedua) untuk memastikan kestabilan supaya kita dapat menarik seramai mungkin pelancong dan mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan perpecahan, 3R dan sebagainya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara di sini, hari ini.
Draf MoU itu apabila siap akan diserahkan kepada majlis tertinggi semua parti politik dalam kerajaan serta pembangkang untuk diluluskan.
Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebelum ini pada dasarnya bersetuju mengagihkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tetapi mahu MoU di antara kedua-dua pihak dirangka terlebih dahulu.
Anwar pada 19 April lalu berkata , tiada ketetapan mengenai sokongan kepada Perdana Menteri sebagai syarat bagi penyaluran peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, syarat ditetapkan bagi tujuan itu yang dibincangkan adalah tertumpu supaya kerajaan stabil dan fokus terhadap pertumbuhan ekonomi yang menjamin keamanan dan kestabilan.
Fadillah yang diberi tanggungjawab mengenai perincian syarat itu kemudiannya memberitahu draf MoU berkaitan antaranya memberi tumpuan kepada persefahaman menggerakkan pembangunan negara, fokus kepada ekonomi dan kebajikan rakyat.
Manakala Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, dilaporkan berkata, Perikatan Nasional (PN) menyambut baik keputusan kerajaan memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dan akan meneliti terlebih dahulu syarat dalam draf MoU yang sedang disiapkan kerajaan.
Dalam pada itu, ditanya bila draf MoU itu akan siap, Fadillah berkata, beliau tidak menetapkan sebarang tempoh waktu.
“Perjanjian ini sedang dimuktamadkan termasuk draf dan sebagainya.Tetapi saya tak tahu di peringkat PN sebab ada yang kata tak perlu perjanjian, tetapi apa pun kita akan melihat, kita siapkan dahulu draf (MoU),” katanya.
Nnn
