DAP sudah mohon dedahkan minit mesyuarat

KUALA LUMPUR 1 Nov. – DAP sudah memohon kepada Anwar Ibrahim, supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung keputusan pengurangan hukuman keatas Najib Razak, dinyahklasifikasikan untuk pengetahuan umum.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata langkah mendedahkan dokumen berkenaan adalah pendirian parti itu, namun tetap tertakluk kepada pertimbangan serta prosedur undang-undang di bawah Peguam Negara.

Justeru  katanya, sama ada bila didedahkan dan sebagainya, itu terpulang kepada pihak Peguam Negara tetapi pendirian DAP adalah minit diumumkan.

“Kita harap keputusan atau minit itu dapat diumumkan, tetapi ia tertakluk kepada pendirian Peguam Negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tuntutan pelbagai pihak dalam parti, termasuk Wanita DAP dan beberapa pimpinan cawangan yang mendesak kerajaan mendedahkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan kes bekas Presiden UMNO itu.

Sebelum ini, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya memberi pengurangan hukuman penjara 12 tahun yang dihadapkan ke atas Najib bagi kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Pengumuman itu mencetuskan pelbagai reaksi politik dan pimpinan serta ahli akar umbi DAP tampil memohon ketelusan supaya minit serta justifikasi keputusan Lembaga Pengampunan didedahkan secara terbuka.

Pada September lalu, Wanita DAP menggesa kerajaan mendedahkan minit rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri itu.

Ketua sayap itu, Teo Nie Ching, berkata keputusan sebesar itu tidak dibuat secara sembarangan selain menuntut ketelusan penuh mengenai proses terbabit.

“Demi kepentingan ketelusan dan akauntabiliti awam, Wanita DAP menggesa kerajaan mendedahkan minit rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan. Orang ramai berhak mendapat penjelasan lengkap mengenai pertimbangan dan proses yang membawa kepada keputusan ini,” katanya melalui kenyataan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment