IPOH 1 Nov. – Parti Amanah Negara (Amanah) menyasarkan untuk bertanding di 32 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, dengan 18 daripadanya menjadi kawasan tumpuan, kata Pengarah Strategi Nasional Amanah, Ahmad Sabki Yusof.
Beliau berkata ketetapan itu diputuskan melalui sesi pemukiman pilihan raya parti itu pada September lalu dan bagi memastikan setiap kerusi dimenangi, gerak kerja jentera pilihan raya mesti bermula sekarang.
“Kita memutuskan semua kerusi yang Amanah sasarkan, kita senaraikan dan tetapkan kerusi-kerusi fokus kita,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Perak 2026 di sini, hari ini.
Katanya, Amanah mengambil sikap bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum bila-bila masa dengan melihat kepada kecenderungan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Menurut Ahmad Sabki, PH mempersiap parti atas kapasiti PH bertanding secara solo, iaitu tanpa kerjasama dengan parti atau gabungan lain.
“Kita bermula dengan memperkukuhkan saf PH dengan tiga parti yang kita ada iaitu Amanah, PKR dan DAP. Kita berazam untuk mengekalkan pentadbiran kita sama ada di peringkat nasional mahupun di peringkat negeri dengan kekuatan sendiri,” katanya.
