Tidak hilang tetapi kurang aktif –  Chean Chung

SEPANG 3 Okt. – Lee Chean Chung yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya dan meninggalkan PKR semalam menolak dakwaan bahawa beliau telah “lebih setahun hilang” daripada urusan parti.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu sebaliknya menjelaskan bahawa beliau kurang aktif selepas isu korporat mafia yang dibangkitkan dalam parti itu tidak diendahkan.

“Kenyataan bahawa saya “lebih setahun hilang” daripada urusan parti adalah tidak tepat. Ia mengalihkan perhatian daripada punca sebenar keadaan ini.

Saya tidak menjauhkan diri tanpa sebab. Saya mula kurang aktif selepas isu korporat mafia yang saya bangkitkan melalui saluran dalaman tidak diendahkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Chean Chung mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa serta-merta, susulan keputusan penggantungan keahliannya dalam PKR selama tiga tahun.

Susulan itu, Presiden PKR,  Anwar Ibrahim, berkata parti tidak ada masalah dengan peletakan jawatan Chean Chung dan menyatakan wakil rakyat itu sudah lebih setahun tidak menghadiri mesyuarat mahupun kongres PKR.

Chean Chung turut mempersoalkan tindakan PKR yang tidak mempedulikan aduannya mengenai mafia korporat susulan pendedahan ahli perniagaan, Victor Chin menuduh seorang Ahli Parlimen PKR menerima RM9.5 juta untuk “menyelesaikan” isu korporat mafia yang membabitkannya.

Katanya, tuduhan seberat itu terhadap seorang wakil rakyat parti kerajaan sepatutnya disiasat dengan segera dan telus.

“Sehingga hari ini, tiada tindakan yang diambil. Sebaliknya, saya yang mendesak supaya isu ini disiasat pula yang disekat dan dihukum,” katanya yang turut menyenaraikan kronologi berkaitan desakan itu.

Chean Chung berkata, pada 26 Januari, beliau meminta siasatan terhadap isu pegangan saham berlebihan Tan Sri Azam Baki dan isu korporat mafia di Parlimen tetapi tiada tindakan.

“Pada April, saya bertemu Perdana Menteri dan memohon sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Tiada tindakan.

“Pada 26 Mei, peruntukan kawasan saya disekat dan diserahkan kepada parti politik untuk menguruskannya. Pada 12 Jun, saya meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

“Pada 2 Julai, saya menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin PKR. Saya menjawabnya pada 9 Julai tetapi tiada balasan.

“Seterusnya pada 20 Ogos, saya sendiri mengutuskan surat dan memohon kepada Lembaga Disiplin supaya pendengaran diadakan supaya saya diberi peluang membela diri. Permohonan itu tidak dipedulikan,” katanya.

Kemudiannya pada 30 September 2026 beliau digantung keahlian selama tiga tahun tanpa sebarang pendengaran. Ini hukuman tanpa perbicaraan.

Beliau mempersoalkan hukuman yang dikenakan ke atasnya selepas membangkitkan perkara berkaitan mafia korporat.

“Mengapa Ahli Parlimen yang mendesak siasatan dihukum tetapi Ahli Parlimen yang dituduh menerima RM9.5 juta tidak disiasat? Rakyat Malaysia tidak boleh menggadaikan maruah negara di mata masyarakat antarabangsa.

“Kita tidak boleh dilihat berkompromi dalam perjuangan menentang rasuah, apatah lagi di bawah kerajaan yang dipilih atas mandat reformasi,” katanya.

Menurut Chean Chung, sebagai Pengerusi Southeast Asia Parliamentarians Against Corruption (SEAPAC), beliau memikul tanggungjawab serantau dalam memerangi rasuah. Rakyat Malaysia

Chean Chung berkata, isu pokoknya bukan siapa yang aktif atau tidak aktif tetapi mengapa salah laku yang dilaporkan tidak disiasat, sedangkan yang mendedahkannya pula dihukum.

“Saya kekal komited kepada rakyat Petaling Jaya dan kepada prinsip yang membawa saya ke dalam politik, integriti, akauntabiliti dan keberanian untuk bersuara walaupun ia tidak popular,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment