SHAH ALAM 1 Nov. – Vacasia Tours & Travels Sdn. Bhd. melancarkan dua pakej umrah bersama dua selebriti yang turut dihadiri lebih 700 bakal jemaah umrah musim 1448/49 Hijrah di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini semalam.
Dua pakej itu adalah Pakej Umrah Salawat The Beloved bersama Hafiz Hamidun dan Promosi Pakej Umrah Sunnah dan Hadis bersama Prof. Dr. Mohd Izhar Ariff.
Hafiz yang juga Penasihat Korporat Vacasia, berkata, kehadiran luar jangka itu mencerminkan kesedaran masyarakat, khususnya generasi muda, terhadap kepentingan menuntut ilmu sebelum menunaikan ibadah umrah.
Katanya, semakin ramai bakal jemaah melihat ibadah umrah bukan sekadar perjalanan ke Tanah Suci, sebaliknya satu perjalanan kerohanian yang memerlukan persediaan ilmu, penghayatan dan keikhlasan.
Menurutnya, keistimewaan pakej umrah kendalian Vacasia terletak pada pengisian serta pendekatan yang memberi penekanan kepada penghayatan ibadah sepanjang berada di Makkah dan Madinah.
Katanya, jemaah Pakej Umrah Salawat The Beloved dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada Mac tahun depan.
“Sepanjang berada di Tanah Suci, perjalanan jemaah akan diserikan dengan amalan selawat sebagai usaha menyemai kecintaan kepada Rasulullah SAW, memperbanyakkan ingatan kepada Baginda serta menghayati keberkatan sepanjang perjalanan ibadah,” katanya.
Sementara itu, Penasihat dan Penaung Kehormat Vacasia, Prof. Dr. Mohd Izhar Ariff berkata, pakej Umrah Sunnah dan Hadis pula menawarkan pendekatan berbeza dengan memberi penekanan kepada ilmu, sejarah dan penghayatan sirah Rasulullah SAW.
Katanya, peserta bukan sahaja dibawa mengunjungi lokasi bersejarah di sekitar Makkalh dan Madinah, malah diberikan penerangan mengenai latar belakang sesuatu peristiwa, asal usul serta kaitannya dengan sunnah dan hadis.
“Melalui pendekatan ini, jemaah berpeluang memahami dengan lebih mendalam sejarah Islam dan peristiwa yang berlaku di lokasi yang dikunjungi.
“Malah, mereka juga boleh mengemukakan soalan dan mendapatkan penjelasan supaya setiap kunjungan bukan sekadar melihat tempat bersejarah, tetapi turut memberi kefahaman serta pengajaran yang boleh dibawa pulang dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan berteraskan ilmu itu penting bagi memastikan perjalanan umrah menjadi pengalaman yang lebih bermakna, sekali gus membantu jemaah meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap ajaran Islam.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah Urusan Vacasia, Adam Ibrahim dan Pengarah Operasi, Muhd. Jafni Mustapha.
Program berkenaan memperlihatkan usaha Vacasia memperkukuh persediaan bakal jemaah melalui gabungan bimbingan ibadah, pengisian ilmu dan penghayatan rohani, agar perjalanan ke Tanah Suci bukan sekadar menunaikan tuntutan ibadah, tetapi turut menjadi titik permulaan kepada perubahan diri ke arah kehidupan yang lebih baik.
Nnnn
