SEPANG 8 Mei – Rejim Zionis Israel sudah mula memusnahkan lintasan Rafah seterusnya menjejaskan kira-kira 1.5 juta penduduk Gaza yang berlindung di kawasan terbabit.
Pengurus Besar Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) di Gaza, Dr Ziad Shehada berkata, kemusnahan itu mengakibatkan semua lintasan di Rafah ditutup pada Selasa dan tiada lagi trak bantuan kemanusiaan dapat memasuki Gaza.
“Tiada lagi mangsa yang boleh meninggalkan Gaza untuk rawatan perubatan dan tiada lagi makanan serta minuman yang boleh didapati di pasaran.
Kira-kira 1.5 juta orang (rakyat Palestin) sedang berpindah dari Rafah ke kawasan lain lain seperti Khan Younis, Deir Al Balah, Nusairat dan lain-lain,” katanya menerusi rakaman video di TikTok beliau.
Pada Selasa, media melaporkan tentera Israel berkata pihaknya mengambil alih kawalan operasi di lintasan sempadan Rafah iaitu terletak antara Gaza dengan Mesir dan pasukan khas rejim itu sedang mengimbas kawasan berkenaan.
Rafah menempatkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan berlindung daripada serangan Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.
Ziad juga memaklumkan, kebanyakan daripada mangsa yang berpindah juga tidak mempunyai khemah untuk berteduh.
“Kami di MyCare mempunyai banyak khemah tetapi ia tidak mencukupi untuk menampung semua orang,” katanya.
Beliau percaya hampir setengah juta orang bersama wanita dan anak-anak mereka tidur di jalanan dan di pantai malam tadi tanpa sebarang kemudahan atau kelengkapan.
Terdahulu Israel dilaporkan menghantar kereta kebal ke Rafah dan merampas lintasan sempadan dengan Mesir itu semalam dalam operasi yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menafikan akses kepada laluan kemanusiaan utama.
Serangan ke atas sektor timur Rafah yang dipenuhi orang awam yang kehilangan tempat tinggal dibuat ketika perunding dan pengantara bertemu di Kaherah dalam usaha pembebasan tebusan dan gencatan senjata membabitkan perang yang berlanjutan selama tujuh bulan itu.
Seorang pegawai kanan Hamas yang enggan namanya disiarkan memberi amaran rundingan itu akan menjadi peluang terakhir Israel untuk membebaskan kira-kira 128 tawanan yang masih ditahan di Gaza, termasuk 36 pegawai yang dikatakan sudah meninggal dunia.
Nnnn
