JAKARTA – Kes keracunan makanan berulang lagi apabila kira-kira 2,000 pelajar dan guru di seluruh Indonesia dilaporkan mengalami masalah itu dalam tempoh tiga hari lalu, dipercayai berpunca daripada program makanan percuma sekolah yang diperkenalkan kerajaan.
Dalam insiden terbaharu, dilaporkan 777 individu jatuh sakit selepas menikmati hidangan yang disediakan di sebuah sekolah menengah di Rembang, Jawa Tengah.
Program Makan Bergizi Gratis (MBG), merupakan sebahagian daripada inisiatif bernilai berbilion dolar Amerika Syarikat yang menjadi antara dasar utama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi meningkatkan tahap pemakanan dalam kalangan pelajar sekolah.
Namun, selain lebih 40,000 dilaporkan telah terdedah kepada keracunan makanan, program itu yang turut berdepan dakwaan rasuah serta kritikan berhubung kos pelaksanaannya.
Menurut pihak sekolah di Lasem, Jawa Tengah, seramai 752 pelajar dan 25 guru mengalami simptom keracunan makanan selepas menikmati hidangan MBG pada waktu makan tengah hari, Rabu lalu.
Dalam kejadian berasingan, seramai 730 individu dilaporkan jatuh sakit selepas menikmati makanan MBG di sebuah sekolah berasrama Islam di Sidoarjo, Jawa Timur, pada Selasa, menurut pegawai kesihatan tempatan.
