BANGKOK – Mulai 15 September ini, Thailand akan melaksanakan rombakan terhadap peraturan pengecualian visa pelancong dan visa semasa ketibaan (VOA), dengan memansuhkan program pengecualian visa 60 hari yang diperkenalkan dua tahun lalu.
Menurut Kementerian Luar Thailand, kerajaan akan memperkenalkan semula skim kemasukan tanpa visa selama 30 hari yang disemak semula, melaksanakan kategori pengecualian 15 hari baharu bagi negara terpilih serta menyusun semula senarai negara yang layak mendapat visa semasa ketibaan.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Konsular Mungkorn Pratoomkaew dalam taklimat media berkata, statistik imigresen menunjukkan purata tempoh tinggal pelancong asing adalah kurang daripada 15 hari, sekali gus menjadikan pengecualian 60 hari secara menyeluruh tidak lagi diperlukan bagi pelancong biasa.
Di samping itu Mungkorn menjelaskan bahawa pertimbangan keselamatan negara, usaha membanteras jenayah rentas negara, manfaat ekonomi serta prinsip timbal balik diplomatik menjadi panduan kepada pelarasan dasar itu.
Katanya, antara 20 hingga 30 negara dan wilayah dikeluarkan daripada senarai pengecualian visa yang disemak selepas pihak berkuasa menilai jumlah kemasukan pelawat serta sama ada keistimewaan visa secara timbal balik diberikan kepada pemegang pasport Thailand.
Menurut pengumuman yang diterbitkan dalam Warta Diraja Thailand pada Isnin, pengecualian visa selama 30 hari yang disemak akan terpakai kepada pemegang pasport biasa dari 60 negara dan wilayah.
Pelancong yang berhasrat untuk tinggal lebih daripada 30 hari di bawah peraturan baharu dinasihatkan memohon visa pelancong standard selama 60 hari secara terus melalui sistem visa elektronik global kementerian sebelum berlepas.
