PERMATANG PAUH 8 Mei – Seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kes kematian seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) bisu yang ditemukan dalam keadaan kaki dan tangan terikat di rumahnya, di Guar Perahu, dekat sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati lelaki tersebut yang berusia 40-an mempunyai lima kes jenayah dan lima kes dadah.
Dalam satu kenyataan malam ini, beliau berkata, kejadian berlaku di sebuah rumah kampung dua tingkat yang didiami tiga beranak dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Helmi menjelaskan, pengadu lelaki warga tempatan berusia 80-an membuat aduan di balai polis Kubang Semang kira-kira pukul 8.36 pagi bahawa rumahnya didapati dalam keadaan berselerak selepas terjaga daripada tidur kira-kira pukul 6.30 pagi.
Pengadu juga mendapati isterinya yang berusia 70-an di bilik berasingan dalam keadaan tangan dan kaki berikat menggunakan pengikat kabel manakala mulutnya disumbat kain beserta pelekat hitam dan luka di jari kanan.
Lelaki itu kemudiannya membuat pemeriksaan di bilik anaknya dan mangsa ditemukan dalam keadaan sama namun tidak sedarkan diri di atas lantai.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Bukit Mertajam (HBM) dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat,” katanya.
Katanya ,siasatan lanjut mendapati, dua suspek bersenjatakan parang memecah masuk ke dalam rumah terbabit dan menggeledah bilik mangsa sebelum melarikan sejumlah wang tunai dan sebuah televisyen.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi Asisten Superintendan Assan Alimudin di talian 012-4418081 atau ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Nnn
(Foto lokasi kejadian)
