HULU SELANGOR 8 Mei – Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao menafikan dakwaan pemimpin tertinggi PKR tidak turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Beliau menjelaskan terdapat beberapa pemimpin daripada parti komponen PH itu berada di lapangan bagi membantu kempen pihaknya termasuk Menteri Besar, Amirudin Shari yang turun tiga hingga empat kali berkempen.
“Semalam juga, saya menyertai satu forum yang dianjurkan oleh PKR, di mana (Naib Presiden PKR), Nurul Izzah (Anwar) turut hadir ke cawangan wanita. (Sayap pergerakan) wanita (PKR) turut hadir dan juga ada ahli.
Ramai ahli politik PKR turun bantu. Jadi hakikatnya, itu (pemimpin PKR tidak turun berkempen) adalah dakwaan tidak benar,” katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada laporan sebuah portal semalam, mengenai jentera PKR didakwa tidak membantu kempen PH di Kuala Kubu Bharu kerana tiada peruntukan disalurkan PKR Selangor, akibat rasa tidak puas hati dalam soal pemilihan calon.
Turut tersebar adalah surat aduan tanpa nama diutuskan kepada Amirudin dengan menyebut semua enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) dikendalikan PKR berdepan masalah dana, menyukarkan jentera untuk bergerak di setiap kawasan.
Berbaki dua hari sebelum hari pengundian Sabtu ini, Sock Tao mengakui cabaran paling besar buat PH ialah memastikan ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Oleh itu, beliau mengambil pendekatan dengan menghasilkan video dalam beberapa bahasa untuk ‘memujuk’ pengundi, khususnya yang berada di luar Kuala Kubu Bharu balik mengundi.
