KOTA BHARU 3 Sept. – Pas berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) pada bila-bila masa, termasuk jika kerajaan memutuskan untuk mengadakannya lebih awal, kata Presidennya, Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, Pas tidak mempunyai sebarang masalah sama ada PRU16 diadakan lebih awal atau mengikut tempoh yang ditetapkan, dan persiapan menghadapi pilihan raya pula sentiasa dilakukan, termasuk dari segi pemilihan calon
“Calon kita, serahlah. Memang ada… insya-Allah, insya-Allah. Kita ramai, ramai,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Kali Ke-65 di sini.
Dalam perkembangan sama Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Pas bersetuju PRU16 diadakan lebih awal, selari dengan pendirian Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata mandat perlu dikembalikan kepada rakyat supaya mereka dapat membuat pilihan, terutama ketika keadaan politik negara dilihat tidak menentu.
“Saya melihat ada keperluan untuk mengadakan (PRU) lebih awal. Saya setuju bahawa dalam situasi keadaan yang tidak menentu begini, kita kena keluar daripada kemelut yang ada,” katanya selepas merasmikan Muktamar Pemuda Pas ke-67.
Tuan Ibrahim berkata PRU lebih awal juga boleh menyelaraskan beberapa PRN untuk diadakan serentak, sekali gus mengurangkan kos yang perlu ditanggung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, tempoh berpolitik yang terlalu panjang menyebabkan rakyat terus memikirkan soal politik dan tidak dapat memberikan tumpuan kepada perkara lain.
Terdahulu, media melaporkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berpandangan bahawa PRU16 wajar diadakan lebih awal, sebelum menghampiri penghujung penggal Parlimen yang dijadualkan berakhir pada hujung tahun depan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata, langkah tersebut membolehkan mandat untuk mentadbir Kerajaan Persekutuan diperoleh semula daripada rakyat.
Sementara itu, Abdul Hadi turut menegaskan bahawa Pas mempunyai ramai calon yang boleh dipertimbangkan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Mengulas mengenai kelebihan sekiranya PRU16 diadakan lebih awal, beliau berkata, perkara itu bukan sesuatu yang asing bagi Pas.
“Kita biasa sahaja. Kita pernah mengalami keadaan dalam Malaysia ini yang tidak memaklumkan tarikh pilihan raya lebih awal, sedangkan ada negara lain berbuat demikian. Terserah kepada kerajaan,” katanya.
Nnnnn
