Gambar Agong : Jel sebulan denda RM3,000

HULU SELANGOR 6 Mei – Individu yang mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) pada 4 Mei lalu dipenjara sebulan dan denda RM3,000.

P. Ramasamy, 66, dijatuhi hukuman itu selepas dia mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Mahkamah mengarahkan Ramasamy yang bekerja sendiri itu, untuk menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 4 Mei dan akan dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Ramasamy didakwa melakukan perbuatan itu dan membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH) menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam PRK KKB, untuk mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon PH.

Perbuatan itu dilakukan di sekitar Taman Bukit Bunga dekat sini pada kira-kira pukul 5.40 petang, 4 Mei.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(A)1 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, dalam rayuannya, Ramasamy memohon maaf kepada mahkamah selain meminta diberikan hukuman ringan, atas alasan beliau tidak mengetahui bahawa tindakan berkenaan adalah salah.

Asmah pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, bahkan untuk rakyat Malaysia supaya kejadian seperti itu tidak lagi berulang.

“Saya mohon hukuman berat diberikan kepada tertuduh dengan mengambil kira kes dan kesalahan yang dilakukan telah melibatkan dan menghina Yang di-Pertuan Agong. Ini merupakan satu isu sensitif dan boleh menimbulkan kemarahan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment