Tidak wajar guna gambar Sultan Ibrahim

HULU SELANGOR 6 Mei – Pengarah Kempen Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, Ng Sze Han, berkata tindakan menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam kempen adalah tidak wajar.

Katanya, PH tidak pernah mengarah atau membenarkan tindakan mempamerkan gambar Sultan Ibrahim oleh mana-mana petugas kempen parti itu.

“Kami mengambil maklum siasatan yang dijalankan polis mengenai perkara ini.

Kami bersedia memberi kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada kepada laporan media mengenai insiden gambar Yang di-Pertuan Agong digunakan ketika kempen PRK Kuala Kubu Bharu. Gambar itu diletakkan atas sebuah kenderaan yang membawa sepanduk dan di belakangnya tertera bendera PH.

Hari ini, dua individu dihadapkan pertuduhan ke Mahkamah Kuala Kubu Bharu atas tuduhan mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada kenderaan dalam kempen PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata, kedua-dua individu berusia 66 tahun didakwa mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mengembangkan niat jahat.

Semalam, Ketua Sayap Bersekutu BERSATU, Dr Chong Fat Full menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyalah-guna gambar Sultan Ibrahim sebagai pelekat dan poster kempen PRK itu.

“Kami berharap SPR mengambil tindakan sewajarnya kerana perkara itu jelas menyangkal peraturan pilihan raya. Dengan membawa gambar seri paduka, ia memberi gambaran Yang Di-Pertuan Agong menyokong calon Pakatan Harapan.

Ia satu kesalahan yang sangat besar mengikut peraturan pilihan raya.

Kami berharap semua pihak yang bertanding sama ada bebas atau mewakili parti, bertandinglah secara bermoral dan sepatutnya semua pihak menghormati Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, kira-kira jam 5.40 petang kelmarin , sebuah kenderaan utiliti sukan dipasang dengan poster Sultan Ibrahim dan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergerak sekitar pekan Kuala Kubu Bharu dengan dihiasi bendera Johor, bendera PH dan Jalur Gemilang.

Menurut Fat Full, tidak menjadi masalah jika menggunakan gambar Pengerusi PH kerana beliau memang ahli politik.

Nnn

Related posts

Leave a Comment