Campur vaksin tingkat imuniti

BANGKOK :  Thailand mempertahankan langkahnya untuk mencampurkan vaksin Covid-19 bagi meningkatkan perlindungan terhadap Covid-19 selepas saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran langkah menggabungkan vaksin berbeza belum terbukti keberkesanan dan keselamatannya.

Pakar virologi Universiti Chulalongkorn Dr Yong Poovorawan berkata suntikan menggabungkan, Sinovac, vaksin virus tidak aktif dengan AstraZeneca vaksin vektor viral sebagai dos kedua didapati berfungsi dengan baik dalam meningkatkan imuniti.

Menurut Ketua Pusat Kecemerlangan Virologi Klinikal Fakulti Perubatan itu, campuran itu boleh memberi kesan penggalak dalam tempoh enam minggu berbanding 12 minggu.

“Penggunaan AstraZeneca sebagai suntikan ketiga atau booster selepas dua dos Sinovac akan mencapai tahap antibodi lebih tinggi,” katanya.

Thailand pada Isnin mengumumkan akan mencampurkan vaksin Covid-19 Sinovac dengan AstraZeneca.

Bagaimanapun, ketua saintis WHO Dr Soumya Swaminathan menyatakan “ia satu trend yang berbahaya.”

“Kita berada di zon yang tidak mempunyai banyak data dan bukti, begitu juga aspek campur dan padanan ini,” katanya.

Sementara itu di PUTRAJAYA, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bercadang untuk melaksanakan pemberian dua jenis vaksin Covid-19 kepada penerima berikutan tiada data kukuh mengenai kaedah itu.

Ketua Pengarah Kesihatan  Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga tidak menerima sebarang data, laporan atau bukti daripada syarikat pembuat vaksin mengenai kaedah campuran vaksin yang berjaya mengawal jangkitan Covid-19.

“Kita masih memerhatikan keadaan ini (campuran vaksin) kalau ada keperluan untuk melaksanakannya. Buat masa ini, tiada keperluan lagi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment