GAZA: Israel meneruskan serangan ke atas Semenanjung Gaza yang dikepung, menyebabkan sekurang-kurangnya 32 rakyat Palestin terbunuh, manakala 41 lagi cedera dalam tempoh 24 jam lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan wilayah itu pada Sabtu, tentera Israel melakukan tiga pembunuhan beramai-ramai dan ramai yang terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya kerana pasukan penyelamat tidak dapat menyelamatkan mereka.
Israel ternyata mengingkari keputusan sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.
Sejak 7 Oktober lalu, sekurang-kurangnya 34,654 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak manakala 77,908 lagi cedera.
Israel menggempur Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh Hamas, yang menurut Tel Aviv membunuh hampir 1,200 orang.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, peperangan Israel ke atas Gaza memaksa 85 peratus penduduk di wilayah itu melakukan perpindahan dalaman di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, manakala 60 peratus infrastruktur wilayah itu rosak atau musnah.
