Pas minta PMX tegas tegur DAP

SEPANG  31 Dis. – Pas menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih tegas menegur DAP supaya menghentikan tindakan yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini, kata Timbalan Presiden  Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada masa yang sama, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sepatutnya bagi memadamkan persepsi rakyat bahawa isu 3R ini hanya terpakai kepada Perikatan Nasional (PN) tetapi disenyapkan jika melibatkan PH-BN-DAP.

Katanya, DAP sekali lagi menunjukkan taring dalam kerajaan PH-BN apabila mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti urusan agama Islam.

Beliau merujuk cadangan pemimpin DAP Ngeh Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas mengenai lantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam (Jawatankuasa Khas).

“Walaupun Ngeh telah menyatakan maaf dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengatakan kenyataan beliau bersifat peribadi, rakyat kenal sikap DAP yang tidak pernah diam dari menyentuh dan mencampuri urusan umat Islam.

Tidak sepatutnya kenyataan sensitif seperti itu dikeluarkan oleh seorang Ahli Jawatankuasa DAP Pusat,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut menarik perhatian bahawa Koo Ham juga pernah bercakap dalam Parlimen tahun ini berkenaan perkahwinan antara orang Islam dengan bukan Islam di luar negara.

“Lebih celupar, beliau pernah menggesa mana-mana pihak supaya menghormati dan tidak mempertikaikan hak orang Islam yang murtad pada 2014 lalu. Saya melahirkan kebimbangan dengan kenyataan-kenyataan seperti ini yang seolah-olah mendapat restu mereka yang berkehendakkan kelangsungan kuasa,” katanya.

Koo Ham dalam kenyataan pada 28 Disember lalu mencadangkan bukan Islam dan juga seorang ahli Badan Peguam yang pakar perlembagaan dilantik sebagai ahli jawatankuasa yang mengkaji bagaimana untuk menyeragamkan undang-undang syariah dan Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu bagaimanapun mencetuskan kritikan keras daripada pemimpin parti Melayu termasuk dalam kalangan parti kerajaan sendiri.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah baginda sebelum ini juga meminta ahli politik khususnya bukan Islam untuk tidak mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

Sebelum itu, Loke menjelaskan, cadangan Ngeh adalah satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa itu.

Tuan Ibrahim pada masa sama, mendukung penuh titah Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) supaya orang bukan Islam tidak mencampuri hal ehwal umat Islam.

“Pas terus menyeru agar umat Islam dan Melayu bersatu teguh mempertahankan hak dan memelihara negara demi kesejahteraan Malaysia,” kata Tuan Ibrahim.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment