KWSP struktur semula kepada tiga akaun

KUALA LUMPUR 25 April –  Mulai 11 Mei, semua akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula daripada Akaun 1 dan Akaun 2 kepada Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata! inisiatif penstrukturan semula akaun itu  adalah bertujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, caruman baharu yang diterima selepas tarikh kuat kuasa akan diagihkan 75% kepada Akaun Persaraan, 15% kepada Akaun Sejahtera dan 10% kepada Akaun Fleksibel.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Bagaimanapun pencarum diberi ruang antara 11 Mei 2024 hingga 31 Ogos 2024 untuk memilih sekali sahaja jika ingin memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelumnya Akaun 2) sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.

Sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.

Beliau berkata, ahli boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel pada bila-bila masa, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.

Permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Contoh pindahan simpanan bagi ahli yang memilih untuk mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel adalah seperti berikut:

Ahli yang mempunyai simpanan RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera:

• Sepuluh per tiga puluh (10/30) daripada simpanan dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel;

• Lima per tiga puluh (5/30) daripada simpanan dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan; dan

• Lima belas per tiga puluh (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

Ahli yang mempunyai simpanan kurang daripada RM3,000 dalam Akaun Sejahtera:

• Akaun Sejahtera yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.

• Akaun Sejahtera yang mempunyai simpanan melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.

Menurut kenyataan itu lagi, kesemua simpanan dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel ahli yang telah mencapai umur 55 tahun akan disatukan ke dalam Akaun 55.

Caruman baharu yang diterima oleh ahli mulai umur 55 tahun akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas. 

Ahli boleh mengakses sistem sepenuhnya pada 12 Mei ini dan maklumat lanjut mengenai inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP, boleh diperoleh di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara atau merujuk kepada laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau melalui KWSP i-Akaun.

 

Related posts

Leave a Comment