KUALA LUMPUR 26 April – Universiti Malaya (UM) memohon maaf kepada semua pihak dan menyatakan rasa kesal terhadap kenyataan kontroversi dibuat seorang profesor dipercayai pro-Israel, ketika tampil sebagai penceramah jemputan universiti itu.
Pusat Komunikasi Korporat (CCC) UM berkata, kenyataan kontroversi itu tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di laman media sosial.
Dalam satu kenyataan hari ini, UM turut memandang serius perkara ini dan satu laporan lengkap berhubung isu ini sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terbabit dengan isu ini.
Katanya, CCC UM juga mengambil maklum saranan Kementerian Pendidikan Tinggi itu dan sudah mengambil tindakan serta merta membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah jemputan warga asing.
“Demi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, UM sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat, terutamanya semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama, termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial.
Dalam pada itu, UM juga turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut berkenaan aspek keselamatan mengembara ke Malaysia,” jelasnya.
Katanya lagi, itu adalah kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang boleh mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.
Terdahulu, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menggesa pentadbiran UM memberi penjelasan berhubung tindakan membenarkan seorang profesor dipercayai pro-Israel, Dr Bruce Gilley, tampil sebagai penceramah jemputan ke universiti itu.
KMUM berkata, kenyataan penceramah terbabit dalam syarahannya menjadi satu perkara yang mencetuskan fenomena dalam kalangan mahasiswa UM, malah membangkitkan kemarahan ramai pihak, termasuk KMUM.
“Kebebasan berakademik tidak salah, akan tetapi apabila syarahan tersebut dijadikan ruang untuk menyebarkan dakyah Zionis.
“Kecuaian yang disengajakan pihak UM menjemput ahli akademik tersebut yang mempunyai rekod kontroversi lampau tidak boleh dijadikan alasan lagi,” katanya.
Pada 9 April lalu, Institut Pengajian Cina UM mengeluarkan jemputan terbuka untuk seminar yang bertajuk “Reassessing Republican China” yang menampilkan Bruce Gilley pada 25 April 2024.
Pada 16 April lalu, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik mengumumkan program Visiting Professor Program 2024 (Program Profesor Pelawat 2024) di mana Bruce dijemput untuk menyampaikan syarahan dan mengendalikan bengkel selama tiga hari mulai 22 sehingga 24 April lalu.
Pada hari kedua (23 April), ketika menyampaikan syarahan yang bertajuk “Will Malaysia Become an Active Middle Power?” Bruce mengeluarkan kenyataan berbunyi “A country whose political leaders advocate a second Holocaust against the Jewish people will never be a serious player in world affairs, and will certainly never be a friend or partner of the United States” ketika memberi syarahan.
Kenyataan itu kemudian dikongsikan semula menerusi ciapan di laman X milik peribadinya, yang menarik perhatian masyarakat Malaysia terutamanya mahasiswa UM.
Susulan insiden itu, KPT turut mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri seorang penceramah warga asing yang mengeluarkan kenyataan dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial dibatalkan segera.
Nnn
