Penduduk mahu masuk Makkah perlu permit

JEDDAH: Selepas melancarkan kad jemaah haji Nusuk bagi mengawal jemaah tanpa permit, pihak berkuasa Arab Saudi memperkenalkan langkah baharu bagi mengurangkan jumlah individu yang mengerjakan haji secara tidak sah.

Menurut kenyataan Direktorat Umum Keselamatan Awam Kerajaan, peraturan baharu mulai Sabtu memerlukan ‘penduduk yang ingin memasuki Makkah mendapatkan permit daripada pihak berkuasa yang berkaitan’.

Kenyataan itu menegaskan, anggota keselamatan Arab Saudi di pusat pemeriksaan keselamatan menuju ke Makkah akan menghalang kemasukan mana-mana individu tanpa permit yang sepatutnya.

Langkah baharu berkenaan diambil sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengawal aliran jemaah haji ke tanah suci bagi mengawal jumlah dan melindungi keselamatan mereka, terutama ketika musim haji.

Sebelum ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melancarkan kad jemaah haji Nusuk yang akan mula digunakan pada musim haji tahun ini.

Pelancaran kad itu adalah siri terbaru dalam pembaharuan diperkenalkan kerajaan Arab Saudi sebagai sebahagian usaha berterusan menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah haji.

Kad jemaah haji Nusuk bertujuan meningkatkan kecekapan prosedur operasi musim haji bagi memudahkan ibadah haji serta mengurangkan kadar individu mengerjakan haji secara haram.

Ia direka bentuk supaya mudah dibaca secara automatik dan memudahkan pekerja haji mengenal pasti serta mengesahkan identiti setiap jemaah, membantu menghalang individu yang tidak dibenarkan memasuki Tanah Suci, sekali gus dapat melindungi keselamatan jemaah.

Related posts

Leave a Comment