Israel terus bertindak kejam

GAZA: Tentera Israel dilaporkan menanam mayat rakyat Palestin yang ditembak mati oleh Zionis itu menggunakan jentolak.

Rakaman sebuah video terbaharu yang dikongsi Al Jazeera Arabic menunjukkan askar Israel menembak mati dua rakyat Palestin yang tidak bersenjata ketika mereka berjalan di kawasan lapang di sepanjang pantai di utara Semenanjung Gaza.

Seorang daripada lelaki berkenaan dilihat melambai sehelai kain putih, untuk menunjukkan bahawa mereka bukan ancaman.

Bagaimanapun, kedua-duanya ditembak dari jarak dekat sebelum mayat mereka ditanam di bawah pasir oleh jentolak tentera Israel.

Dalam pada itu, tentera Israel terus mengepung Gaza, semalam sebelum menyerang Hamas di sekitar hospital walaupun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menuntut gencatan senjata.

Ternyata rundingan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan membabitkan negara pengantara Amerika Syarikat (AS) dan Mesir tidak membawa hasil apabila Israel dan pejuang Hamas terus menyalahkan di antara satu sama lain.

Ketegangan semakin meningkat di antara Israel dan sekutu utamanya, AS susulan isu kekurangan makanan yang meruncing di Gaza dan jumlah kematian orang awam yang semakin meningkat dalam perang yang tercetus pada Oktober tahun lalu.

AS juga menentang rancangan Israel untuk melancarkan serangan daratnya ke kawasan bandar di selatan Rafah yang mempunyai 1.5 juta penduduk dan kebanyakan mereka kehilangan tempat tinggal akibat perang terbabit.

Israel juga bertindak menyerang bandar Gaza dan Rafah dengan bom pada waktu malam.

Tentera Israel juga menyerang Pejuang Hamas di tiga hospital di Gaza dan menimbulkan kebimbangan terhadap pesakit, kakitangan perubatan dan mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Pertempuran berlaku sejak minggu lalu di sekitar Hospital Al-Shifa di bandar Gaza dan baru-baru ini berhampiran di dua hospital di bandar utama selatan Khan Yunis, Al-Amal dan Nasser.

Related posts

Leave a Comment