THAILAND merekodkan lima kes baharu koronavirus Covid-19, semuanya import yang melibatkan seorang warganegara Thailand dan empat warga asing yang tiba dari India, Bahrain, Malaysia dan Jepun.
Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), wanita tempatan itu tiba dari Jepun pada 30 September dan diuji positif pada Ahad, 4 Oktober.
Dua lelaki warga India pula tiba pada 25 dan 30 September dan diuji positif pada Ahad manakala seorang lelaki dari Bahrain didapati positif pada Sabtu selepas tiba pada 27 September lalu.
Seorang lagi, lelaki tiba dari Malaysia didapati positif pada Sabtu. Dia bersama krew lain menaiki pesawat khas sebelum itu memulakan perjalanan dari Portugal kemudian India diikuti Malaysia sebelum mendarat di Thailand pada 30 September.
Setakat ini Thailand merekodkan 3,590 kes dengan jumlah kematian 59 orang
Sementara itu, VIETNAM buat hari ke-32 berturut-turut tidak merekodkan sebarang kes jangkitan dalam kalangan masyarakat. Angka kematian kekal 35 kes, kebanyakan warga emas.
Menurut Jawatankuasa Pengendali Nasional untuk Pencegahan dan Pengawalan Covid-19, negara itu setakat ini mengesahkan 1,096 kes termasuk 691 jangkitan tempatan dan selebihnya kes diimport.
Sebanyak 1,020 pesakit berjaya dirawat dan kini tiada pesakit dalam keadaan kritikal.
Seramai 16,447 orang yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit Covid-19 atau memasuki Vietnam dari wilayah yang dilanda pandemik sedang dikuarantin di seluruh daerah, termasuk 718 di hospital, 11,212 di pusat kuarantin, dan 4,547 di rumah.