PADU : Rafizi ke Sarawak minggu depan

KOTA SAMARAHAN 28 Mac –  Kementerian Ekonomi yang diketuai Rafizi Ramli dijangka mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak bagi membincangkan isu penangguhan pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) di negeri itu.

Premier Sarawak,  Abang Johari Abang Openg berkata, Rafizi serta barisan pegawainya mengesahkan akan berkunjung ke Kuching minggu depan.

Katanya, kerajaan Sarawak mengalu-alukan kesediaan Rafizi untuk mengetahui dengan lebih terperinci kenapa pendaftaran PADU diarahkan ditangguh di Sarawak.

“Beliau sendiri (Rafizi) ada menyatakan hendak mengetahui lebih lanjut kenapa kita minta ditangguhkan dan kita ada menjelaskan (sebelum ini) bahawa ia adalah berkaitan dengan privasi.

Kita mahu (penjelasan) butiran lain dari sudut kerahsiaan maklumat peribadi kerana kalau terlalu banyak didedahkan yang tiada hubung kait dengan kedudukan kewangan, maka tidak munasabah untuk mendedahkan butiran dengan begitu terperinci” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Sarawak, yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Masjid Al-Mutaqqin, di sini, malam tadi.

Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri ,  Fauziah Mohd Sanusi dan isteri Premier Sarawak,  Juma’ani Tuanku Bujang.

Sambutan Nuzul al-Quran dengan tema Sarawak Maju Makmur pada tahun ini menghimpunkan kira-kira 1,000 jemaah melibatkan ketua masyarakat dan ketua kaum, kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan serta masyarakat sekitar Samarahan.

Selain itu, turut berlangsung pada sambutan kali ini adalah bacaan al-Quran berangkai dan tazkirah bertajuk Al-Quran dan Seruan Ke Arah Maju Makmur oleh Mufti Sarawak, Sahibus Samahah,  Kipli Yassin.

(Foto FB TYT)

Nnnn

Related posts

Leave a Comment