Mana lebih baik, boikot atau huru hara

SEPANG 18 Mac –  MCA sepatutnya menegur KK Mart, bukan pembela membabi buta kedai serbaneka itu berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,  Dr Mohd Puad Zarkashi,

Dalam kenyataan dimuat naik melalui Facebook hari ini, beliau menempelak kenyataan Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon meminta supaya tidak diperbesarkan isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ yang dijual di kedai serbaneka itu.

Katanya, Sin Woon cuba memandai-mandai menjadi pembela kepada KK Mart, sedangkan isu itu adalah besar dan melukakan hati umat Islam.

“Ini bukan membesar-besarkan isu. Ini soal agama. Ia menghina umat Islam. Umat Islam adalah pelanggan utama KK Mart.

Apa maksud Setiausaha Agung MCA bahawa tindakan boikot itu menyebabkan negara menjadi mangsa? Mana lebih berat jika berlaku huru-hara berbanding boikot?

“Sekurang kurangnya tidak ada kedai KK Mart dibakar seperti apa yang berlaku di negara lain jika sensitiviti agama tidak dijaga,” katanya.

Semalam, Sin Woon dilaporkan meminta Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh supaya tidak memperbesarkan isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ yang dijual di KK Mart.

Sin Woon dipetik berkata, Dr Muhammad Akmal juga tidak sepatutnya membuat gesaan supaya umat Islam memboikot kedai serbaneka berkenaan, kerana tindakan secara semberono itu hanya akan merugikan negara.

Media sebelum ini melaporkan Pemuda UMNO memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di kesemua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

 

Related posts

Leave a Comment