KUALA LUMPUR 16 Mei – Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan berlangsung di Istana Negara pada Sabtu, 20 Julai ini, bermuka pukul 10 pagi, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau memberitahu, sebelum itu, majlis bacaan surah Yasin dan doa selamat akan berlangsung di Masjid Negara pada 18 Julai mulai pukul 5.30 petang manakala, khutbah khas akan dibacakan pada solat Jumaat keesokannya di Masjid Negara.
“Ini diikuti dengan majlis Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara dan pada hari sama, kerajaan akan menganjurkan Majlis Santapan Diraja jam 8.30 malam di Istana Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan di-Pertuan Agong ke-17 di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri, Rozainor Ramli, mengumumkan pelantikan Fahmi sebagai Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.
Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu,
Fahmi berkata, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadualkan melawat Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai manakala Muzium Negara akan mengadakan Pameran Raja Kita pada 25 Julai.
“Majlis Jamuan Teh Diraja akan diadakan pada jam 3 petang 27 Julai di Istana Negara. Turut dimaklumkan, Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17 adalah pada 3 Jun dan tarikh berkenaan diwartakan sebagai cuti umum,” katanya.
Bagaimanapun, baginda memperkenan supaya acara sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi baginda ditangguhkan dari Jun ke September bagi memberi keutamaan kepada Istiadat Pertabalan dan acara lain sempena Istiadat Pertabalan pada Julai.
