PUTRAJAYA 16 Mei – Lebih setengah juta atau 2.5 peratus penduduk dewasa negara ini menghidap empat penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolestrol tinggi dan obesiti, kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.
Katanya, empat penyakit itu menyumbang risiko utama kepada penyakit jantung dan serangan angin ahmar atau strok yang mana daripada jumlah 2.5 juta berkenaan seramai 2.3 juta individu dewasa negara ini menghidap tiga daripada empat NCD.
Beliau berkata, penemuan itu diperoleh daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023: Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dan Permintaan Jagaan Kesihatan serta Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia.
Data NHMS 2023 menunjukkan daripada 2.3 juta menghidap tiga penyakit, ia merangkumi 5.1 peratus menghidap kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolestrol tinggi; 1.2 peratus kencing manis, darah tinggi dan obesiti; kencing manis, kolestrol tinggi dan obesiti (0.4 peratus) dan 2.9 peratus menghidap tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti.
“Tinjauan NHMS 2023 mendapati sebahagian besar daripada individu dewasa menghidap kencing manis, tekanan darah tinggi, dan kolesterol tinggi yang tidak didiagnosis tergolong dalam kelompok yang berumur lebih muda.
Penemuan ini amat membimbangkan, kerana NCD yang tidak didiagnosis dalam kalangan kumpulan umur lebih muda akan memberi komplikasi kesihatan lebih awal kepada kelompok ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Hasil Penyelidikan NHMS 2023: Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dan Permintaan Jagaan Kesihatan serta GATS Malaysia 2023 di Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Sejak tahun lalu, KKM memperluaskan program saringan kesihatan kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas melalui Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan atau National Health Screening Initiative (NHSI) iaitu salah satu inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di bawah Teras 3, iaitu Kawalan Kesihatan Kendiri.
“Ia menekankan pemerkasaan diri dan literasi kesihatan melalui saringan kesihatan secara berkala yang merangkumi tekanan darah, tahap glukosa dalam darah, tahap kolesterol dalam darah, indeks jisim badan (BMI), dan saringan kesihatan mental.
“Trend peningkatan prevalens orang dewasa berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan dewasa memerlukan perhatian serius dan tindakan bagi mengatasi serta mencegah komplikasi kesihatan yang berkaitan.
“Salah satu faktor menyumbang kepada peningkatan prevalens ini adalah pengambilan gula secara berlebihan. Ini dibuktikan oleh beberapa kajian yang dijalankan dalam negara,” katanya.
Nnn
