Hati-hati longgar kawalan

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran supaya dunia lebih berhati-hati dan tidak melakukan kesilapan ketika membuat keputusan untuk melonggarkan kawalan pergerakan.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, walaupun ada negara yang mencatatkan peningkatan kes sembuh tetapi hakikatnya penurunan kes yang sembuh lebih perlahan berbanding peningkatan jangkitan.

Katanya, berdasarkan kes yang berlaku, Covid-19 meningkat dengan amat pantas, (namun) ia menurun dengan perlahan.

“Dalam erti kata lain, angka turun adalah lebih rendah daripada angka naik,” kata Tedros dalam taklimat media berkaitan Covid-19 di sini pada Isnin (awal pagi Selasa waktu Malaysia)

Tambahnya, negara terbabit perlu melakukannya dengan cermat iaitu kawalan pergerakan dilonggarkan dengan perlahan dan berhati-hati, tidak boleh berlaku sekali gus.

“Kawalan boleh ditamatkan jika langkah melibatkan kesihatan awam diteruskan,” kata Tedros.

Bagi membantu negara-negara berkenaan membuat keputusan melonggarkan kawalan, WHO akan mengeluarkan nasihat strategiknya esok sebagai panduan kepada negara yang mahu mengambil langkah melonggarkan kawalan pergerakan.

Katanya,strategi itu merumuskan apa yang telah dipelajari dan petunjuk yang diperoleh sepanjang penularan wabak itu.

Beliau turut menggariskan enam kriteria sebelum sesebuah negara mengambil keputusan melonggarkan kawalan pergerakan.

Kriteria itu adalah,  penularan wabak itu dapat dikawal ; sistem kesihatan berupaya untuk mengesan, menguji, mengasingkan dan merawat setiap kes dan mengesan setiap hubungan atau kontak.

Risiko wabak itu dapat dikurangkan dalam keadaan istimewa seperti penyediaan kemudahan kesihatan dan  penjagaan; langkah-langkah pencegahan ada di tempat kerja, sekolah dan tempat-tempat lain yang menjadi tumpuan awam.

Keupayaan menguruskan risiko pengimportan kes serta keupayaan masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu kehidupan.

Related posts

Leave a Comment