Kertas siasatan isu stoking kalimah Allah

KUALA LUMPUR 18 Mac – Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri,  Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata siasatan yang bertumpu kepada vendor atau pengedar produk berkenaan dimulakan selepas menerima 36 laporan daripada pelbagai pihak sejak beberapa hari lalu.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) terima 36 laporan daripada pihak yang tidak berpuas hati terhadap penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart di Sunway, Selangor.

Kita sentiasa memantau supaya tidak berlaku lagi perkara (penjualan stoking) ini,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, walaupun permohonan maaf sudah dibuat KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) Sabtu lalu, siasatan akan tetap diteruskan bagi menyiasat dan mendakwa pihak terbabit khususnya yang mengedar dan menjual produk berkenaan.

Katanya, tindakan penguatkuasaan juga diambil dengan memeriksa premis KK Mart di seluruh negara dan mendapati pihak KK Mart sudah menarik balik semua stoking berkenaan dari semua cawangannya.

Pada Sabtu lalu, pengasas KK Super Mart, Dr KK Chai, dalam sidang medianya menyatakan, pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit tanpa pemantauan pekerja pihaknya.

Beliau dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan ke atas 800 cawangan KK Super Mart di seluruh negara mendapati hanya tiga premis mempunyai stoking terbabit dan 14 pasang tertera kalimah Allah.

Menjawab soalan asal oleh Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) berkenaan pemantauan bahan penerbitan, buku atau bahan bacaan supaya bebas daripada unsur lucah dan tidak bermoral, Shamsul Anuar berkata, sehingga tahun lalu, sejumlah 5,516 tajuk penerbitan dikenakan tindakan supaya tidak berada dalam masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap penerbitan seperti ini dilaksanakan dalam pelbagai kaedah iaitu pemeriksaan berterusan di lapangan dan pintu masuk, pemantauan secara dalam talian serta berdasarkan sumber aduan awam.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment