Penggunaan rokok elektronik meningkat 600 peratus

PUTRAJAYA 16 Mei –  Penggunaan rokok elektronik meningkat 600 peratus di negara ini dengan 5.8 peratus pengguna dikenal pasti pada 2023 berbanding 0.8 peratus pada 2011, kata Menteri Kesihatan,  Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata data itu didedahkan dalam Global Adult Tobacco Survey (GATS) iaitu tinjauan isi rumah peringkat kebangsaan yang juga dilakukan di lebih 30 negara berpendapatan rendah dan sederhana yang dibebani penggunaan tinggi tembakau.

Katanya, data juga menunjukkan seramai 4.8 juta orang atau 19 peratus penduduk dewasa negara ini adalah perokok tembakau dengan 3.7 juta atau 14.6 peratus golongan dewasa itu merokok setiap hari.

Manakala pengguna dwiguna iaitu tembakau dan rokok elektronik didapati sebanyak 3.9 peratus golongan dewasa negara ini menggunakannya,  peningkatan 400 peratus berbanding tempoh sama, pengguna dwi-guna hanya 0.8 peratus.

Beliau berkata demikian ketika mendedahkan penemuan utama Hasil Penyelidikan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) serta GATS di Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Menurut Dr Dzulkefly, penggunaan rokok elektronik itu juga menunjukkan lonjakan membimbangkan dengan pertambahan bilangan perokok itu daripada kalangan usia lebih ramai iaitu 8.6 peratus prevalens bagi usia 15 hingga 24 tahun.

“Bagi usia 25 hingga 44 tahun pula sebanyak 7.1 peratus bilangan pengguna rokok elektronik; diikuti usia 45 hingga 64 tahun (2.8 peratus) dan usia 65 tahun ke atas sebanyak 0.7 peratus.

“Faktor yang menyumbang kepada mereka terjebak dengan rokok elektronik ialah peranti itu tersedia dalam perisa digemari, persepsi rokok elektronik kurang memudaratkan berbanding tembakau dan ia mudah didapati,” katanya.

Nnnn

Nn

Related posts

Leave a Comment