KUALA LUMPUR 14 Mac – Pembayaran pencen yang ditanggung kerajaan meningkat lebih RM1 bilion setiap tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Bayaran pencen itu merangkumi pesara perkhidmatan awam, ahli Parlimen dan anggota pentadbiran, setiausaha politik dan hakim.
Dr Zaliha memberitahu, kerajaan membayar RM32.01 bilion kepada 931,707 pesara tahun lalu, meningkat RM1.75 bilion berbanding tahun sebelumnya yang dibayar kepada 902,999 pesara.
Pada 2022 kerajaan membayar pencen sebanyak RM30.26 bilion, meningkat RM2.22 bilion berbanding 2021 yang dibayar kepada 878,441 pesara membabitkan bayaran RM28.04 bilion.
“Untuk 2020, kerajaan membayar RM26.39 bilion kepada 859,422 pesara,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut).
Menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang), Dr Zaliha berkata tanggungan faedah persaraan kerajaan diunjurkan semakin meningkat setiap tahun.
Beliau berkata pada 2023, jumlah perbelanjaan faedah persaraan adalah sebanyak RM32.01 bilion dan dijangka akan mencecah RM46.36 bilion pada 2030 dan RM120 bilion menjelang 2040.
Sehubungan itu, katanya bagi memastikan kerajaan dapat menguruskan perbelanjaan kewangan negara dengan lebih mampan, satu kaedah baharu lantikan tetap sedang diteliti dan pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap dijangka akan dapat memberi penjimatan kepada kerajaan daripada segi tanggungan pencen dalam tempoh jangka panjang.
“Lantikan Kontrak (Interim) adalah langkah sementara ke arah memperkenalkan kaedah baharu lantikan tetap pegawai perkhidmatan awam.
“Tempoh Lantikan Kontrak (Interim) ini adalah tidak lebih daripada tiga tahun sebelum pegawai dilantik secara tetap tanpa perlu melalui proses pengambilan semula,” katanya.
Menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang), Dr Zaliha memberitahu, kaedah baharu lantikan tetap yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan adalah langkah berimpak besar ke arah menawarkan penyelesaian jangka panjang terhadap isu peningkatan tanggungan pencen perkhidmatan awam.
Di samping itu, ia memastikan kelangsungan serta kemampanan fiskal negara dalam membiayai perbelanjaan yang berkaitan dengan emolumen dan faedah persaraan yang dinikmati oleh penjawat awam.
“Pegawai baharu yang dilantik menerusi kaedah baharu akan menerima gaji, elaun dan kemudahan sama seperti yang dinikmati oleh pegawai lantikan tetap dan berpencen sedia ada. Ini termasuklah apa-apa elaun tetap seperti Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), serta elaun lain yang layak kepada skim perkhidmatan dan tugasan tertentu.
“Menerusi inisiatif di bawah Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kerajaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan boleh guna penjawat awam seiring dengan peningkatan kos sara hidup semasa,” katanya.
Nnnnn
