PUTRAJAYA 27 Dis. – Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian akibat Covid-19 walaupun trend pandemik terkawal.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui sidang media pada 21 Disember lalu juga yakin bahawa situasi kini adalah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Bagaimanapun WHO turut menyatakan kebimbangan mereka terhadap perkembangan semasa di China, mengenai peningkatan mendadak kes Covid-19.
Golongan pakar dan penyelidik di peringkat antarabangsa menjangkakan situasi ini akan berlaku susulan keputusan pihak berkuasa negara China sekitar awal bulan ini untuk melaksanakan kelonggaran terhadap dasar pengurusan pandemik Covid-19 mereka yang ketat.
“Malaysia telah diumumkan memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu semasa negara masih lagi diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan. Sempadan negara dibuka kepada pelancong serta aktiviti industri pelancongan dan sektor ekonomi lain dipertingkatkan.
“Justeru, dengan mengambil kira Malaysia mempunyai risiko kemasukan kes Covid-19 dari luar negara, KKM terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian Covid-19 seperti yang pernah dialami semasa variant Delta melanda seluruh dunia,” katanya.
Dr Noor Hisham dalam kenyataannya berkata, KKM mengambil beberapa langkah dalam menangani pandemik termasuk meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan, jangkitan serius serta kematian.
Justeru , KKM menggesa individu yang layak tampil mendapatkan vaksin dos penggalak supaya populasi Malaysia mendapat perlindungan yang optimum terhadap penyakit Covid-19.
Di samping itu KKM juga mengukuhkan pengurusan Covid-19 melalui pendigitalan pengurusan kesihatan dengan menambah baik pengurusan melalui pendekatan FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support) yang diautomasikan.
Memastikan semua Covid-19 Assessment Centre (CAC) yang beroperasi secara fizikal (iaitu di Klinik Kesihatan dan di komuniti) mahupun secara maya bersedia untuk menerima kedatangan/ panggilan pesakit yang tinggi untuk membuat penilaian terhadap pesakit yang disahkan positif jangkitan Covid-19.
Memperkenalkan penggunaan ubat antiviral Paxlovid sejak 15 April lalu dalam kalangan pesakit yang menerima rawatan di klinik kesihatan, CAC dan hospital KKM.
Memantau rapi penularan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti survelan membabitkan lokasi sentinel influenza-like illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) di seluruh negara.
Menggerakkan inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sejak awal tahun ini di semua peringkat. Inisiatif ini antara lain untuk memperkasa kawalan kendiri kesihatan merangkumi pemerkasaan individu dalam mengambil tindakan pencegahan penyakit, menilai status kesihatan diri, memastikan kepatuhan rawatan dan mengamalkan norma baharu iaitu penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan pemakaian pelitup muka.
Dr Noor Hisham berkata, masyarakat dinasihatkan supaya mengamalkan gaya hidup yang sihat dan selamat bagi menghindarkan diri daripada bahaya jangkitan Covid-19 dan penyakit berjangkit lain.
“Bagi mereka yang berisiko tinggi termasuk individu yang mempunyai komorbid amat digalakkan memakai pelitup muka terutama di kawasan atau tempat yang sesak, seperti perhimpunan ramai.
“Mereka yang bergejala juga digalakkan memakai pelitup muka dan menjalankan ujian COVID-19 kendiri.
“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan juga luar negara melalui maklumat WHO selain memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
