KUALA LUMPUR 14 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengharapkan kerjasama masyarakat dan aduan awam dalam usaha memantau produk kurma dari Israel yang berada di pasaran.
Menterinya, Armizan Mohd Ali berkata pemantauan tersebut dijalankan melalui pelbagai akta di bawah KPDN khususnya Akta Perihal Dagangan 2011.
Pada masa yang sama, KPDN juga memasukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan terma rujukan Ops Pantau yang dilancarkan khas untuk Ramadan dan Aidilfitri, untuk melihat secara terperinci penjualan kurma yang didakwa tersebut.
“Dan kita berharap kerjasama daripada seluruh masyarakat dan aduan awam dalam platform-platform rasmi di KPDN,” katanya menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), di Dewan Rakyat hari ini.
Armizan menjelaskan, di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, KPDN tidak mempunyai bidang kuasa bagi mempertimbangkan lesen import sebarang produk dari Israel.
KPDN katanya memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mempunyai maklumat berhubung pihak yang tidak bertangungjawab, yang cuba mengelirukan pengguna.
“Di bawah Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan 2011, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM 100,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya (individu) dan syarikat boleh didenda sehingga RM250,000,” katanya.
Semalam , media melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 73 pek buah kurma ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ yang dipercayai produk dari Israel.
Kurma seberat 14.6 kilogram bernilai RM678 itu dirampas di sebuah gudang di sekitar Klang, selain seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an dipercayai pemilik perniagaan berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Armizan turut memaklumkan KPDN membuka sebanyak 11 kes siasatan termasuk enam kes melibatkan pencatutan sepanjang dua hari Ops Pantau di bazar Ramadan di seluruh negara.
Jelas beliau, dalam operasi pada 12 dan 13 Mac itu, sebanyak 3,099 premis turut diperiksa.
