Bersatu harap RoS beri kelulusan segera

KUALA LUMPUR 11 Mac –  Bersatu berharap Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dapat memberi pertimbangan segera meluluskan cadangan pindaan perlembagaan parti itu, kata Presidennya,  Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, cadangan pindaan perlembagaan adalah teratur dari segi teknikal dan ia adalah kehendak parti yang diputuskan dalam perhimpunan agungnya dengan jumlah kehadiran melebihi daripada jumlah mesyuarat ditetapkan.

“Saya diberitahu (cadangan pindaan) sudah mengikut peraturan ditetapkan dan saya memohon supaya ROS beri pertimbangan sebaiknya dalam tempoh segera,” katanya selepas menyerahkan cadangan pindaan itu kepada RoS hari ini.

Muhyiddin berkata, Setiausaha Kerja parti itu sedia memberikan maklumat tambahan jika diperlukan ROS untuk membuat pertimbangan dan meluluskan cadangan pindaan perlembagaan terbabit.

“Tadi kita sudah menjelaskan satu persatu kepada Ketua Pengarah RoS dan Alhamdulillah, semuanya teratur. Sebab itu kami berharap apabila diserahkan kepada RoS, mereka akan beri pertimbangan positif dalam tempoh seberapa segera,” katanya.

Bersatu pada 2 Mac lalu, meminda perlembagaan parti itu sebagai cara membendung wakil rakyatnya daripada memberi sokongan kepada pihak lawan.

Pindaan itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Fasal 10.4 memperuntukkan mana-mana ahli Bersatu yang juga wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi selari dengan Fasal 10.5 disifatkan terhenti keahliannya daripada parti itu secara serta-merta.

Perkara 10.5 pula menyatakan Majlis Pimpinan Tertinggi boleh mengeluarkan arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat atau DUN atau Dewan Negeri dan ia hendaklah dibuat secara bertulis.

Perkara 10.6 merujuk kepada Fasal 10.4 iaitu Setiausaha Agung, atas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi, hendaklah mengeluarkan notis kepada ahli berkenaan yang memaklumkan bahawa keahlian beliau terhenti secara serta-merta dan namanya dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti.

Pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abd Abdul Rahman (Labuan).

Di samping itu, seorang ADUN parti itu Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) Turut memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Nnn

Related posts

Leave a Comment