Kok Seong disiasat isu sekolah vernakular

KUALA LUMPUR 11 Mac – Polis membuka kertas siasatan terhadap Felo Kanan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Dr Teo Kok Seong, berhubung kenyataannya berkaitan sekolah vernakular baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Saifuddin memaklumkan perkara itu pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Siasatan itu ekoran satu ucapan Kok Seong yang mendakwa sekolah vernakular menjadi penghalang kepada perpaduan negara.

Kok Seong mendakwa 95 peratus anak-anak Cina dihantar ke sekolah vernakular Cina dan enggan berintegrasi dengan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini.

Awal bulan ini, Teresa Kok (PH-Seputeh) yang juga Naib Pengerusi DAP menggesa pihak polis menyiasat Kok Seong berhubung rakaman video di TikTok yang mendakwa sekolah jenis kebangsaan Cina menyebarkan sentimen perkauman.

Beliau mempersoalkan mengapa Kok Seoang tidak disiasat dengan membandingkan siasatan polis terhadap pemimpin-pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Tony Pua.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara,  Aaron Ago Dagang, meminta rakyat menghentikan serta-merta polemik berkaitan kewujudan sekolah vernakular kerana ia boleh menggugat semangat perpaduan yang dibina dalam kalangan masyarakat.

Katanya, Mahkamah Rayuan pada tahun lalu memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil di sekolah adalah berperlembagaan.

Susulan itu, katanya, sebarang usaha memansuhkan kewujudannya adalah tidak wajar, malah ia bertentangan dengan keputusan mahkamah yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara.

“Saya juga menyokong penuh pendirian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyatakan Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mempertahankan sistem pendidikan vernakular kerana ia selaras Seksyen 28 (penubuhan Sekolah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan), Akta Pendidikan 1996.

“Selain itu, saya tegaskan sekali lagi sekolah vernakular bukan satu faktor yang menjurus ke arah perpecahan, sebaliknya ia menjadi tarikan ke arah perpaduan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Fadhlina mempertahankan sistem pendidikan vernakular kerana ia diiktiraf Akta Pendidikan dan KPM akan berpegang dengan pendirian itu berdasarkan peruntukan dalam akta terbabit.

Fadhlina berkata demikian bagi menjawab persoalan Kok Seong bahawa sekolah vernakular hanya aliran sampingan di negara ini dan tidak boleh mengatasi bilangan sekolah kebangsaan.

Aaron berkata, data enrolmen pelajar bukan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan pelajar bukan India di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) turut menunjukkan peningkatan berterusan sejak 2018 hingga 2023.

“Ini menunjukkan perpaduan rakyat mampu dibina di mana saja jika ada kesungguhan oleh semua pihak.

“Kementerian sudah melaksanakan Wacana Defisit Sosial dengan menampilkan pakar bidang pada tahun lalu. Hasil dapatan berkenaan menunjukkan kewujudan sekolah vernakular tidak boleh lagi dianggap sebagai pembuka ruang pemisah antara etnik.

“Sebaliknya, ia turut menjadi medan mengurus kerukunan sosial sama seperti peranan sekolah kebangsaan,” katanya.

Dalam pada itu, Aaron berkata, kementeriannya juga sudah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pendidikan Negara bertujuan mengembalikan penghayatan asas dan prinsip Rukun Negara dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, jawatankuasa itu turut mendapat kerjasama kementerian lain termasuk KPM, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment