MOTAC batal lesen Emraz mulai 11 Mac

PUTRAJAYA 8 Mac –  Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen syarikat pengendali pakej umrah Emraz Travel & Tours Sdn Bhd, berkuat kuasa 11 Mac ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, MOTAC memaklumkan, pembatalan lesen itu selaras dengan perenggan 8(1)(b) dan (d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

“Ini kerana syarikat berkenaan didapati melanggar syarat lesen dan peruntukan Akta 482 serta menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, pada 8 Julai lalu, media melaporkan lesen Syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd digantung selama enam bulan berkuat kuasa 10 Julai 2023 hingga 9 Januari 2024.

Perkara itu diputuskan selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) di bawah subseksyen 8(1)(d) iaitu menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.

Pada 2 April tahun yang sama, Lembaga Tabung Haji (TH) menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Emraz Travel & Tours sebagai langkah awal untuk melindungi kebajikan bakal jemaah haji susulan aduan awam berkenaan perkhidmatan umrah yang ditawarkan syarikat terbabit.

Sekitar November tahun lalu, pihak polis menerima ratusan laporan berhubung dakwaan kes penipuan pakej umrah membabitkan syarikat itu dan susulan itu dua pengarah syarikat berkenaan yang juga sepasang suami isteri dihadapkan ke mahkamah berkaitan kes berkenaan.

Sementara itu, melalui hantaran di Facebooknya, Emraz akan mengeluarkan kenyataan media berhubung tindakan MOTAC itu pada minggu depan selepas selesai perbincangan antara pengarah syarikat dan panel peguam syarikat.

Nnn

Related posts

Leave a Comment