SHAH ALAM 8 Mac – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan kadarzakat fitrah di Selangor pada Ramadan tahun ini kekal seperti tahun sebelumnya iaitu pada kadar RM7, RM14 dan RM21 mengikut jenis beras yang dimakan.
Dalam kenyataannya, LZS menjelaskan penetapan kadar itu berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam Selangor pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.
Kadar zakat fitrah ditetapkan RM7 untuk pengguna beras Super Special Tempatan lima peratus dan ia adalah kadar wajib minimum sebagaimana diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Manakala kadar RM14 bagi pengguna beras Super Import, Beras Perang, Beras Pulut, Herba Ponni dan Beras Wangi sementara kadar RM21 pula adalah untuk beras jenis Basmathi, Beras Jepun, Beras Merah dan setaraf dengannya.
Justeru itu katanya, tiga jenis kupon fitrah berwarna yang bersandarkan nilai mata wang ringgit Malaysia digunakan sepanjang Ramadan ini iaitu hijau bagi kadar fitrah bernilai RM7, merah bernilai RM14 dan oren (jingga) bernilai RM21.
LZS melantik seramai 2,778 orang Penolong Amil Fitrah (PAF) di seluruh Selangor bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah.
Pembayaran juga boleh dibuat melalui 17 Penolong Amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 96 Maahad Tahfiz serta Sekolah Agama Swasta di negeri ini di samping pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat.
Antara saluran pembayaran zakat yang boleh dilakukan secara dalam talian adalah melalui EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my; Perbankan internet; Portal MyEg; Pos Online; Aplikasi e-dompet MAE, Touch N Go, Selangkah, GoPayz dan Boost.
LZS turut menyediakan Zakat On Wheels di lokasi strategik seperti di masjid, bazaar Ramadan, pasar tani, pasar raya dan sebagainya di sekitar Selangor bagi memudahkan umat Islam yang memerlukan perkhidmatan LZS.
Di samping itu, 18 cawangan LZS di seluruh Selangor juga akan dibuka selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini bagi memudahkan masyarakat yang mengambil kesempatan menunaikan zakat harta dan fitrah pada bulan Ramadan.
Waktu urusan pada hari bekerja bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula 9 pagi hingga 3 petang.
Nnn
