Pasukan khas bantu pekerja Goodyear

KUALA LUMPUR: Satu pasukan khas ditubuhkan bagi membantu 550 pekerja yang akan terjejas susulan keputusan syarikat pengeluar tayar global, Goodyear menutup kilangnya di Shah Alam berkuat kuasa pada 30 Jun ini.

Pasukan itu adalah inisiatif diterajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

MIDA dalam satu kenyataan berkata, pasukan itu akan membantu penempatan semula pekerja serta menawarkan program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) kepada pekerja terjejas.

Menurut kenyataan itu, MIDA aktif bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso) serta Jabatan Tenaga Kerja melalui Pusat Pemudahcara Invest Malaysia yang baharu untuk memudahkan bantuan penempatan pekerjaan daripada pelbagai sektor.

“Usaha kerjasama ini menunjukkan potensi mekanisme sokongan yang berkesan bagi membantu mereka yang terjejas berikutan penutupan kilang Goodyear di Shah Alam, menunjukkan komitmen kerajaan terhadap peralihan dan daya tahan tenaga kerja,” kata MIDA.

Terdahulu, Presiden Goodyear bagi Asia Pasifik, Nathaniel Madarang berkata, langkah penutupan itu seiring program transformasi kumpulan, Goodyear Forward dalam mengoptimumkan portfolio dan kehadirannya di peringkat global.

Beliau berkata, ia juga membantu memberi pertambahan keuntungan dan meningkatkan nilai untuk pemegang saham.

MIDA berkata, langkah intervensi itu membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menyokong tenaga kerja terjejas untuk mendapatkan peluang pekerjaan baharu, menerusi pendekatan yang berjaya sebelum ini bersama syarikat yang melaksanakan rasionalisasi atau pengecilan operasi.

Keadaan ini menggariskan kepentingan komitmen MITI dan MIDA untuk menyokong pekerja yang terjejas dan memupuk daya tahan,” kata kenyataan itu.

Goodyear bersama-sama pemegang sahamnya menyelaraskan satu rangka kerja sokongan untuk pekerjanya sebelum memutuskan untuk menutup kilangnya di Shah Alam.

Perkembangan ini sebahagian langkah operasi global Goodyear bagi mencapai penjimatan kos tahunan sebanyak AS$1 bilion menjelang 2025 setelah menanggung kerugian sejak 2017.

Sebagai sebahagian penstrukturan semula syarikat itu, Goodyear merancang beralih daripada pengeluar kepada pengedar, menumpukan kepada segmen premium yang menguntungkan, membina keupayaan dalam jualan dan pemasaran, mengukuhkan rangkaian pengedaran, dan menambah baik struktur kos.

Sementara itu, MIDA berkata Malaysia mencapai prestasi pelaburan bersejarah pada 2023 dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM329.5 bilion merentasi pelbagai sektor ekonomi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment