PA harap gencatan menjelang Ramadhan

ANKARA: Pihak Berkuasa Palestin (PA) berharap gencatan senjata dapat dicapai menjelang Ramadan tidak lama lagi, kata Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki.

Beliau berkata, PA akan menjadi satu-satunya pihak berkuasa yang sah untuk mentadbir Gaza selepas perang.

“PA akan menjalankan pemerintahan sendiri di bahagian Tebing Barat yang diduduki Israel, selepas kehilangan kawalan ke atas Gaza kepada kumpulan pejuang Hamas pada 2007,” katanya pada sidang media di forum diplomatik di Antalya, Turkiye

Israel dan Hamas telah berunding melalui pengantara mengenai kemungkinan gencatan senjata di Gaza dengan tujuan untuk menghentikan peperangan pada bulan Ramadan yang dijangka bermula pada 10 Mac ini.

Kementerian kesihatan yang dikendalikan pejuang Hamas di Gaza berkata, angka kematian terkini akibat perang di wilayah Palestin itu telah mencecah 30,320 mangsa selepas 92 kematian baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Kementerian itu juga berkata seramai 71,533 orang cedera di Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober tahun lalu.

Related posts

Leave a Comment