Denda Rp100j langgar PSBB

DENDA Rp100 juta atau RM30,000 dan penjara maksimum setahun jika langgar peraturan yang ditetapkan di bawah perintah Perbatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) yang dikuatkuasakan di Jakarta mulai hari ini sehingga 23 April.

PSBB antara lain mewajibkan pemakaian penutup hidung dan mulut ketika di luar rumah, mengehadkan jumlah penumpang dalam kenderaan awam dan persendirian yang tidak melebihi 50 peratus daripada kapasiti kenderaan berkenaan.

Penunggang motosikal juga dilarang membawa pembonceng, restoran atau kedai makan hanya dibenarkan menjual makanan yang dibungkus sahaja, serta tidak boleh berkumpul melebihi lima orang.

Sementara itu, Indonesia mencatatkan 26 lagi kematian akibat virus Covid-19 dalam tempoh 24 jam sejak pukul 12 tengah hari semalam, menjadikan jumlahnya kini meningkat kepada 306 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata dalam tempoh yang sama jumlah kes positif virus itu bertambah 219, menjadikan jumlahnya kini 3,512 kes.

Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 154 kes, diikuti Jawa Barat (40 kes), Jawa Tengah (22), Jawa Timur (22) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Related posts

Leave a Comment