LONDON: Kesatuan Eropah (EU) mengutuk sekatan dikenakan Israel terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menyifatkan serangan Israel ke atas orang awam di wilayah terkepung itu baru-baru ini sebagai tidak wajar.
Dalam satu kenyataan, ketua dasar luar blok itu Josep Borrell, meminta siasatan antarabangsa yang saksama mengenai peristiwa tragis ini, membolehkan gambaran jelas mengenai peristiwa dan tanggungjawab itu.
Beliau turut menggesa Israel mematuhi peraturan undang-undang antarabangsa dan melindungi pengagihan bantuan kemanusiaan kepada penduduk awam.
Katanya, peperangan berterusan dan pengabaian undang-undang kemanusiaan antarabangsa akan membawa kepada kekacauan sepenuhnya menjadikan pengagihan bantuan kemanusiaan sebagai mustahil.
“Tanggungjawab untuk insiden ini terletak pada sekatan yang dikenakan oleh tentera Israel dan halangan terhadap bekalan bantuan kemanusiaan,” katanya.
Khamis lalu, tentera Israel melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penduduk Palestin yang menunggu bantuan kemanusiaan di Gaza City, menyebabkan sekurang-kurangnya 112 rakyat Palestin terbunuh dan 760 cedera.
Beliau menggesa Israel untuk “bekerjasama sepenuhnya” dengan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak yang terbabit dalam tindak balas kemanusiaan dan membenarkan akses kemanusiaan yang bebas, tanpa halangan dan selamat melalui semua titik persimpangan.
EU juga menggesa Israel untuk segera menghapuskan halangan di lintasan Kerem Shalom, dan membuka akses di utara di persimpangan Karni dan Erez, membuka pelabuhan Ashdod kepada bantuan kemanusiaan dan membenarkan koridor kemanusiaan terus dari Jordan.
