KAMPALA – Parlimen Uganda meluluskan usul menyokong keputusan Presiden Yoweri Museveni untuk ‘mengerahkan Angkatan Pertahanan Rakyat Uganda ke Semenanjung Gaza bagi misi pengaman’.
Jeneral Henry Matsiko yang mengalu-alukan keputusan itu memberitahu Parlimen, beliau berbangga kerana angkatan pertahanan itu diiktiraf sebagai tonggak kestabilan di tengah pergolakan, bukan sahaja di peringkat serantau malah di peringkat global.
Kerahan tentera itu adalah sebagai sebahagian daripada Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di bawah perjanjian perlucutan senjata dicapai pada penghujung Julai.
Pasukan antarabangsa itu adalah sebahagian daripada inisiatif Lembaga Keamanan, sebuah pertubuhan yang diwujudkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang antara lain dipertanggungjawabkan membuat persiapan bagi tempoh pascaperang.
Difahamkan, empat lagi negara dilaporkan menyatakan kesediaan menyertai pasukan itu, iaitu Maghribi, Kosovo, Albania dan Kazakhstan.
