MyPLUS-TTA bantu pengguna lebuh raya

KUALA LUMPUR 30 Jan. – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melancarkan aplikasi MyPLUS-TTA bagi membantu pengguna khususnya Lebuhraya Utara-Selatan merancang perjalanan ketika musim perayaan.

MyPLUS-TTA adalah aplikasi berkonsepkan pengagihan trafik yang mengikut pola perjalanan pada musim-musim perayaan sebelum ini.

Ia membantu pengagihan trafik bagi mengurangkan risiko kesesakan dan meningkatkan keselesaan perjalanan pengguna.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata, selain memberi manfaat khususnya kepada pengguna, ia memperkukuhkan agenda dan memenuhi aspirasi pendigitalan kerajaan.

“Inisiatif ini merupakan penambahbaikan kepada jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh PLUS sejak 2007.

Menerusi aplikasi ini, pengguna lebuhraya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar serta memilih waktu perjalanan yang bersesuaian,” katanya ketika melancarkan aplikasi tersebut di Persada PLUS, di sini, hari ini.

Alexander berkata kementeriannya komited dalam mendukung hasrat kerajaan memperkasakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan penggunaan teknologi berketepatan tinggi dan efisien.

Katanya, inovasi teknologi penyelenggaraan jalan amat penting dalam menyediakan kemudahan infrastruktur yang selesa dan selamat dengan penglibatan dan tanggungjawab bersama semua pihak.

Menurutnya, ini terbukti dengan pelancaran Kempen MyJalan sebelum ini.

Katanya, bagi menambah baik aplikasi MyJalan, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama PLUS bagi mengintegrasikan aplikasi MyPLUS-TTA ke dalam aplikasi MYJalan pada setiap musim cuti perayaan.

“Ini bagi memudahkan rakyat untuk mengakses serta merancang perjalanan mereka dengan lebih efisien.

“Integrasi MyPLUS-TTA di dalam MyJalan membolehkan aplikasi ini diakses oleh lebih ramai pengguna lebuh raya dan mengukuhkan lagi fungsi MyJalan sebagai ‘One-Stop Centre’,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Nik Airina Nik Jaffar berkata dengan pelancaran MyPLUS-TTA pihaknya akan meneruskan usaha dalam menjadikan lebuh raya kendaliannya sebagai lebuh raya pintar.

“Komitmen kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada semua pengguna lebuhraya. Pengenalan inisiatif digital seperti MyPLUS-TTA bukan sahaja membantu pengguna merancang perjalanan dengan lebih baik tetapi menyumbang kepada pengagihan kenderaan yang lebih cekap di lebuh raya.

“Kami berharap semua pengguna menerima baik MyPLUS-TTA kerana dengan penggunaan yang tinggi, ianya akan menambahbaik data dikumpul dan akan digunakan sewaktu musim perayaan lain atau waktu puncak lain. MyPLUS-TTA boleh diakses menerusi aplikasi PLUS,” katanya.

Related posts

Leave a Comment