Bersatu pinda perlembagaan halang khianati parti

KUALA LUMPUR 29 Jan. –  Bersatu akan meminda perlembagaan parti bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang mengkhianati parti bagi maksud pengosongan kerusi, kata Setiausaha Agung, Hamzah Zainudin.

Katanya, selaras dengan ketegasan itu, pada mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) malam tadi, parti bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu bagi menghalang insiden sama daripada berulang pada masa depan.

Dalam kenyataan hari ini, Hamzah berkata, Bersatu juga bersedia untuk berdepan dengan pilihan raya kecil (PRK).

Setakat ini, enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetapi kekal sebagai ahli Bersatu adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaharu,  Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Hamzah bagaimanapun tidak menjelaskan perkara berkaitan pindaan Fasal 10 : Pemberhentian  dan Pemecatan Ahli.  

Di bawah fasal itu, antara lain ahli yang mahu berhenti hendaklah memaklumkan keinginan mereka kepada setiausaha agung secara bertulis, seseorang itu terbatal keahliannya apabila meminta untuk berhenti, mengisytiharkan keluar parti.

Menyertai parti lain, bertanding sebagai calon bebas, menjadi pencadang atau penyokong dalam mana-mana pilihan raya, dipecat selepas melalui proses tatacara disiplin atau merujuk sesuatu isu parti atau haknya ke mahkamah.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, dalam mesyuarat yang dipengerusikan  Muhyiddin Yassin itu, banyak isu dibincangkan terutama berkait situasi terkini ekonomi negara yang didakwanya suram.

Tambah beliau, isu lain yang turut diberi perhatian adalah berkisar beban sara hidup rakyat yang mendesak, masalah harga barang melambung tinggi dan nilai ringgit merudum.

Berkaitan politik juga, Hamzah berkata MPT sebulat suara menyokong perjuangan kepemimpinan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu.

“Bukan sahaja dalam konteks pemerkasaan parti secara menyeluruh, tetapi untuk tampil lebih kredibel, tegas dan berani dalam melawan fitnah jahat serta kezaliman kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Mesyuarat juga memutuskan pelantikan tiga ahli MPT baharu iaitu Ahli Parlimen Padang Serai,  Azman Nasrudin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin dan Penolong Setiausaha Srikandi,  Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Di peringkat negeri, mesyuarat turut bersetuju melakukan rombakan kepemimpinan  dengan menggugurkan Ahmad Faizal Azumu dan Abdul Rashid Asari sebagai peneraju kepimpinan parti masing-masing di Negeri Sembilan dan Selangor.

Katanya ,  Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor baharu manakala Mohamad Hanifah Abu Bakar pula dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan baharu.

“Parti mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Ahmad Faizal dan Abdul Rashid yang memimpin kedua-dua negeri tersebut sebelum ini,” kata Hamzah.

Hamzah juga memaklumkan beberapa lantikan pengerusi biro baharu, iaitu Dr Radzi Jidin sebagai Pengerusi Biro Ekonomi manakala  Saifuddin Abdullah menerajui Biro Antarabangsa Bersatu.

“Datuk Azman Nasrudin dilantik sebagai Pengerusi Biro Pendidikan,  Wan Saiful Wan Jan pula sebagai Pengerusi Biro Latihan serta Fadzillah Mohd Pilus dilantik Pengerusi Lembaga Disiplin yang baharu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment