Daim bimbangkan masa depan negara

KUALA LUMPUR 29 Jan. –  Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin lebih bimbangkan masa depan negara ini di bawah pimpinan Anwar Ibrahim berbanding siasatan dan tindakan mahkamah yang dikenakan ke atas dirinya.

Daim, 86 berkata, seperti ramai yang lain mahukan sebuah Malaysia baharu, beliau turut menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Anwar pada 2018 iaitu ketika negara dihantui bayang-bayang skandal 1MDB.

“Tetapi kini, kita dibayangi pula oleh sebuah pentadbiran menyalahguna kuasa, di samping janji-janji reformasi yang dimungkiri. Musang berbulu ayam bersorak reformasi tetapi melakukan sebaliknya,” katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas menghadapi pendakwaan di mahkamah hari ini, Daim mendakwa pertuduhan yang dihadapinya itu adalah bermotifkan politik.

“Saya tidak bersalah dan tidak sabar menunggu hari perbicaraan kelak. Namun, saya ingin menyatakan sesuatu mengenai keadaan negara kita,” katanya.

Menurutnya, Anwar melantik seorang individu berdepan tuduhan rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri demi mencapai jawatan perdana menteri.

“Tidak lama kemudian, seperti silap mata, 47 pertuduhan rasuah itu digugurkan. Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan?

“Kejujuran, integriti dan tadbir urus baik semuanya ke laut. Institusi bebas seperti SPRM, Peguam Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diperalatkan dengan mudah dalam mengejar musuh politik,” katanya.

Beliau berkata, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman digunakan sewenang-wenangnya terhadap mereka yang lantang bersuara atau mengkritik kerajaan atau Anwar termasuk menteri mengeluarkan ugutan menghantar kereta polis ke rumah mereka.

“Seharusnya Anwar mesti sedar yang semua ini ada tempiasnya. Ketika sibuk melunaskan dendam lampau, ringgit terus merosot, ekonomi terbantut dan penderitan rakyat biasa berterusan.

“Dalam usia yang lanjut, di mana saya tidak lagi mempunyai kekuatan seperti dulu, keyakinan saya tetap tidak goyah. Saya tidak peduli sangat nasib saya, biarlah Anwar melemparkan segala-galanya terhadap saya, tetapi saya khuatir nasib negara saya,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya melakukan apa yang terdaya dalam memelihara dan menyelamatkan negara ini.

“Jangan takut bersuara terhadap Anwar dan rejimnya. Sesebuah kerajaan bertanggungjawab kepada rakyatnya, bukan sebaliknya,” katanya.

Terdahulu, Daim didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta.

Bagaimanapun, Daim atau nama sebenarnya, Che Abdul Daim Zainuddin, 86, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Dalam pada itu,Daim membayar ikat jamin RM280,000 seperti ditetapkan Mahkamah Sesyen.

Daim, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pengisytiharan 70 aset hartanya.

Daim membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Daim didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta itu membabitkan aset antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, 38 syarikat dan 25 hartanah serta tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Kedah.

Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Disember 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Related posts

Leave a Comment