Taib Mahmud Bapa Sarawak Moden

KUCHING 29 Jan. –  Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sememangnya layak diberi gelaran ‘Bapa Sarawak Moden’.

Begitu penghargaan dan penghormatan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg kepada bekas Yang di-Pertua Negeri, yang mengabdikan hidupnya untuk membangun dan mensejahterakan Sarawak.

Abang Johari, berkata sumbangan Abdul Taib, 87 terlalu besar sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Menteri selama 32 tahun dan 10 tahun sebagai ketua negeri.

“Bagi pihak rakyat Sarawak, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan berterima kasih dengan tulus dan ikhlas kepada Tun Pehin Sri Abdul Taib atas p jasa dan pengorbanannya yang tidak boleh disangkal dalam pembangunan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Taib memulakan perkhidmatan awam pada usia muda apabila menjadi ahli Kabinet negeri pertama selepas Sarawak diberi kuasa pemerintahan sendiri oleh British pada 22 Julai 1963.

Pada 1966, beliau berpindah ke peringkat Persekutuan dan berkhidmat dalam pelbagai jawatan menteri dalam Kerajaan Persekutuan.

Beliau kembali ke Sarawak sebagai Ketua Menteri pada 1981 mengambil alih daripada Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’akub sebagai Ketua Menteri Sarawak keempat.

Menurut Abang Johari, ketika menjadi Ketua Menteri, Abdul Taib mempamer kualiti sebenar sebagai pemimpin rakyat pelbagai kaum dan kepercayaan agama di negeri ini.

“Beliau menyatukan rakyat dan mewujudkan kestabilan politik di Sarawak di bawah dasar politik pembangunan.

“Beliau juga berperanan penting dalam melaksanakan dasar untuk menjamin masa depan Sarawak sebagai ekonomi moden, terutama dengan mengeksploitasi sumber kekayaan baharu di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Beliau adalah bapa Sarawak moden,” katanya.

Abang Johari berkata, kualiti Abdul Taib sebagai pemimpin hebat dicontohi dalam melahirkan pemimpin baharu seperti Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, beliau sendiri serta pemimpin muda yang lain.

Abdul Taib dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh pada 1 Mac 2014 sehingga 26 Januari 2024 dan diganti oleh Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang akan mengangkat sumpah jawatan ketua negeri itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, esok.

 

(Foto FB UKAS)

Nnnn

Related posts

Leave a Comment