Bersangka baik amalan orang lain

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Solat Subuh dibuat sebanyak empat rakaat, Zuhur pula 12 rakaat, Asar (empat rakaat), Maghrib (lima rakaat) dan solat Isyak, iaitu 17 rakaat.

Itu antara kandungan sebuah video yang tular di media sosial, memaparkan lelaki warga asing menjawab pertanyaan mengenai berapa rakaat bagi setiap solat fardu.

Dalam rakaman video terbabit, seorang individu bertanya kepada lelaki warga asing yang tidak didedahkan identitinya mengenai jumlah rakaat bagi setiap solat fardu.

Mengulas perkara ini, pendakwah, Jafri Mahmoodi menasihatkan umat Islam supaya tidak cepat menjatuhkan hukum ke atas perkara yang dilihat kerana ia mungkin tidak sama dengan kebiasaan ibadat di negara ini.

Jafri dalam hantaran video menerusi aplikasi TikTok mendakwa, amalan sedemikian adalah kebiasaan bagi umat Islam dalam kalangan mazhab Hanafi.

“Macam mana kalau dia ‘confident’ (yakin) dan perkara itu memang menjadi amalannya. Kita pula bagaimana? Sebab ada sahabat kita dalam kalangan mazhab Hanafi, mereka ini sangat mengambil berat mengenai solat rawatib dan solat sunat, sehingga meletakkan solat itu hampir setaraf dengan yang wajib (solat fardhu),” katanya.

Katanya , jawapan warga asing terbabit mengenai solat Subuh sebanyak empat rakaat mungkin membawa maksud dua rakaat solat sunat sebelum Subuh dan dua rakaat selepas menunaikan solat fardu itu.

Solat Zuhur, 12 rakaat. (Ini mungkin membawa maksud), beliau melakukan empat rakaat solat sunat sebelum, empat rakaat solat fardu Zuhurr dan empat rakaat lagi (solat sunat) selepas itu.

Untuk solat Asar, beliau menyebut empat rakaat. Ini kerana solat sunat sebelum asar itu sunat ghairu muakkad (tidak ditekankan) manakala, bagi solat Maghrib, sebanyak lima rakaat, iaitu tiga rakaat yang wajib dan dua rakaat lagi solat sunat selepas solat fardu Magrib.

Bagi Isyak, yang paling banyak, 17 rakaat iaitu empat rakaat solat sunat sebelum fardu Isyak, empat mewakili solat Isyak dan empat rakaat solat sunat selepas dan ditambah pula dua rakaat sunat selepas fardu Isyak, ditutup dengan tiga rakaat solat witir.

Menurut beliau, ia mungkin amalan yang biasa diamalkan umat Islam berpandukan mazhab Hanafi, jadi jika itu yang ditanya, maka mereka memberikan jumlah keseluruhan mewakili semua solat dilakukan daripada solat fardu, sunat sehingga kepada witir.

“(Melalui video ini) mungkin kita ini perlu banyak bersangka baik dengan amalan orang dan kita juga boleh ambil pengajaran daripada kisah ini supaya jangan terlalu cepat memperlekeh jawapan orang yang tak sesuai dengan hati kita. Jom kita sama-sama bermuhasabah diri,” katanya.

(Boleh ikuti video penjelasan di fb Jafri Abu Bakar Mahmoodi)

 

nnn

Related posts

Leave a Comment